Perak Hari Ini
Like

MB Inc Edar 500 Pakaian Seragam Sekolah Yang Disiapkan ‘Team Ceknik’

December 17, 2019
529 Views
0 Comments
3 minutes read
MB Inc Edar 500 Pakaian Seragam Sekolah Yang Disiapkan ‘Team Ceknik’

IPOH: Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) menyerahkan 500 pasang pakaian seragam kepada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk diedarkan kepada murid-murid masyarakat Orang Asli di negeri ini.

Menurut satu kenyataan, kesemua pakaian seragam tersebut telah dihasilkan oleh tujuh orang wanita masyarakat Orang Asli atau ‘Team Ceknik’ dari Kampung Sungai Cincin di Chenderiang dekat Tapah.

Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Anuar Zainal Abidin berkata projek pakaian seragam itu adalah sebahagian daripada inisiatif ‘Program Kembali Ke Sekolah’ syarikat bagi membantu mengurangkan beban ibubapa masyarakat Orang Asli dalam membuat persiapan untuk anak-anak mereka bagi musim persekolahan tahun hadapan.

“Bagi mengiktiraf kesungguhan ‘Team Ceknik’ dari Kampung Sungai Cincin ini dalam menyiapkan projek pertama mereka, pakaian seragam ini telah diletakkan label KSC.

“Kami amat berbangga dengan pencapaian kumpulan wanita Kampung Sungai Cincin yang begitu komited dalam mempelajari teknik menjahit yang digerakkan oleh MB Inc sejak memulakan Program Kampung Angkat pada April lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyerahan pakaian seragam kepada lima GLC untuk diedarkan kepada komuniti Orang Asli menerusi program Kampung Angkat masing-masing, hari ini.

Wakil-wakil GLC yang menerima pasang pakaian seragam sekolah

Antara GLC yang terlibat ialah Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), Lembaga Air Perak (LAP), Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) serta Perak Hydro Renewable Energy Corporation Sdn Bhd.

Pengarah Tenaga Kerja, Jabatan Tenaga Kerja Kuala Lumpur Rahmat Ismail, menyerahkan mesin jahit kepada Ketua Komunikasi Korporat MB Inc, Siti Kamesah Bee Hashim

Dalam majlis yang sama, Jabatan Tenaga Kerja turut menyumbangkan tujuh mesin jahit kepada MB Inc untuk kegunaan aktiviti Orang Asli di Kampung Sungai Cincin.

Sementara itu, Anuar berkata telah MB Inc merancang untuk membantu meningkatkan lagi kemahiran dan kapasiti ‘Team Ceknik’, sekali gus membantu mereka menjana lebih banyak sumber pendapatan.

“Ini adalah bagi menyahut saranan Menteri Besar Perak supaya GLC negeri menjadi peneraju kepada usaha meningkatkan tahap pendidikan dan sosio-ekonomi komuniti Orang Asli untuk jangka masa panjang, menerusi inisiatif Program Kampung Angkat,” katanya di sini, hari ini.

Untuk rekod Kampung Sungai Cincin adalah salah satu daripada 20 komuniti Orang Asli yang terlibat dari Program Kampung Angkat Orang Asli oleh GLC Perak yang mana program tersebut merupakan cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Selain menyediakan mesin jahit, MB Inc turut melantik tenaga pengajar bagi melatih kumpulan suri rumah Kampung Sungai Cincin dengan kemahiran menjahit.

Pada masa sama, kampung tersebut juga telah mengambil bahagian dalam Pertandingan Bola Sepak Wanita Sembilan Sebelah Piala Sri Kandi Perak pada Sabtu lalu yang mana ia merupakan penganjuran yang julung kali diadakan di Ipoh.

Komen & Pendapat

Comments are closed.