Panasnya Hari Ini

Najib Akui Tak Pernah Sahkan Sumber Dana

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengakui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini, beliau tidak pernah mengesahkan fakta berhubung derma dari pihak Arab Saudi secara rasmi melalui Wisma Putra.

Menurut Najib, ia berikutan derma itu masuk tidak lama selepas Raja Abdullah (Raja Arab Saudi) secara peribadi menyatakan sokongan kepadanya sewaktu kunjungan pada Januari 2010.

“Ia juga disebabkan oleh peranan Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho) dan perkara yang menguatkan kepercayaan saya terhadap hubungannya yang kuat dengan keluarga Diraja Saudi dan peranannya yang diiktiraf sebagai pengantara.

“Saya tidak mempunyai sebab yang munasabah untuk meragui kesahihan derma itu. Bagaimanapun saya tekanan kepercayaan saya bahawa dana itu adalah derma bukanlah sesuatu yang dirahsiakan oleh saya.

“Perkara ini dimaklumkan kepada AmBank dan semua transaksi serta dokumen dilaporkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM). Tiada pada bila-bila masa isu ini dibangkitkan,” katanya.

Berhubung transaksi RM27 juta yang dipindahkan ke dalam akaun baru miliknya oleh Permai Binaraya Sdn Bhd (PBSB), Najib berkata beliau tidak dimaklumkan berhubung semua transaksi itu.

“Saya juga tidak pernah dimaklumkan bahawa terdapatnya urus niaga membabitkan wang daripada SRC International Sdn Bhd (SRC) melalui Putra Perdana Construction Sdn Bhd (PPC) dan Permai Binaraya Sdn Bhd (PBSB) sebelum ia diremitkan ke dalam akaun saya.

“Tiada seorang pun yang melaporkan hal ini kepada saya. Ia adalah jelas saya tidak dimaklumkan tentang kebenaran di sebalik asal usul dana di dalam akaun baru tersebut. Sekiranya saya tahu wang itu adalah daripada SRC, saya tidak akan menerimanya,” katanya.

Najib berkata, adalah sesuatu tidak masuk akal beliau rela hati menerima wang daripada syarikat yang dimiliki oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) ke dalam akaun peribadinya.

“Dana SRC adalah di dalam dana utama, ia adalah dana pinjaman yang seharusnya dibayar balik. Ia adalah suatu yang tidak masuk akal bagi saya untuk bersetuju menerima dana pinjaman tersebut.

“Keadaan sekeliling itu hanya didedahkan apabila keterangan diperoleh peguam ketika perbicaraan ini. Saya tidak mempunyai pengetahuan berkenaan dengan sumber sebenar dana daripada SRC dan tidak mempunyai pembabitan dalam pemindahan keluar wang daripada akaun SRC,” katanya

Berhubung surat bertarikh 24 Disember 2014 berhubung pemindahan wang daripada dua akaun miliknya, Najib berkata beliau tidak mempunyai sebarang pengetahuan atau terbabit dengan transaksi itu.

“Pada atau sekitar 24 Disember 2014 saya berada di Honolulu sebagai transit ke Kuala Lumpur. Saya berada di Honolulu sebagai sebahagian daripada lawatan peribadi bersama keluarga dan pada masa sama sesi bermain golf diatur dengan Presiden pada masa itu, Barack Obama.

“Perjumpaan dan sesi bermain golf itu dilaporkan secara meluas di media. Selepas saya dimaklumkan berkenaan banjir teruk melanda pantai timur, dengan segeranya saya membuat aturan untuk pulang ke Malaysia. Oleh itu saya tidak pernah tandatangan surat itu,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");