KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan SRC International hari ini beliau mengeluarkan cek daripada akaun banknya untuk tujuan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kerana beliau mempercayai mempunyai baki mencukupi dalam akaun tersebut.
Namun, apabila diperiksa balas oleh pendakwa ad hoc V Sithambaram, beliau berkata tidak memeriksa jumlah sebenar dengan sesiapa termasuk ketua setiausaha sulitnya, Azlin Alias, atau individu yang diberi kuasa menguruskan akaunnya iaitu Nik Faisal Ariff Kamil.
“Jika mereka kata saya boleh mengeluarkan cek, saya akan mengeluarkannya. Mereka tidak memberitahu saya jumlah tertentu,” katanya.
Pegawai AmBank Badrul Hisam Mohamed dalam keterangan sebelum ini memberitahu RM10.7 juta telah dibayar kepada pelbagai individu, syarikat dan parti politik.
Sithambaram, yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan SRC International, berkata beliau mendapati situasi pelik.
“Saya perlu tahu bagaimana perkara ini diuruskan,” katanya. “Anda tidak merasa pelik apabila tiada yang memberitahu anda baki dalam akaun?”
Kepada soalan itu, Najib menjawab: “Saya rasa wang yang ada cukup. Ia adalah tugas mereka untuk memastikan wang cukup.”
Beliau bersetuju dengan cadangan Sithambaram bahawa beliau tidak mengetahui sumber dana dalam tiga akaun AmBank kecuali daripada “sumbangan Arab”.
Katanya, beliau hanya mengetahui sumber itu yang didakwa daripada SRC International selepas wang itu menjadi isu.
Sithambaram kemudian berkata kepada Najib: “Saya tidak bermaksud menunjukkan rasa tidak hormat kepada anda, tetapi saya teringat ketika polis menyerbu rumah anda tahun lepas, anda mengadu tentang coklat yang hilang.”
Najib bagaimanapun berkata anak perempuannya yang membuat aduan itu.
Perbicaraan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan diteruskan pada 6 Jan depan.
Najib berdepan 6 pertuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah membabitkan pemindahan RM42 juta ke akaunnya daripada SRC International, bekas unit 1MDB.
Beliau juga dituduh menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan kepada pinjaman RM4 bilion SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) lapor FMT.