Berita Hari Ini

‘Najib Mangsa Tipu Jho Low, 4 Lelaki Arab’ – Pembelaan

Najib Razak merupakan mangsa kepada ahli perniagaan Low Taek Jho, empat lelaki misteri Arab, kata pasukan pembelaan bekas perdana menteri hari ini.

Peguam belas utama Muhammad Shafee Abdullah berkata Low yang dikenali sebagai Jho Low ialah “ketua kumpulan” untuk rancangan itu dan berkonspirasi membuatkan Najib, ketika itu menteri kewangan dan perdana menteri tidak tahu menahu mengenai perkara tersebut.

Shafee juga mendakwa keseluruhan pihak pengurusan SRC International dan 1MDB “dibayar” oleh Low yang kini dalam buruan.

Katanya, hal ini berlaku walaupun Najib berkhidmat sebagai penasihat SRC, pemegang saham tunggal dalam SRC juga 1MDB.

Shafee berkata kepada pemberita bahawa anak guamnya ialah mangsa skandal kewangan yang melanda dua syarikat itu.

Beliau bercakap kepada pemberita di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di mana Najib tampil pada hari ini untuk membela dirinya dalam perbicaraan jenayah melibatkan dana RM42 juta SRC International, syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan – yang juga bekas anak syarikat 1MDB.

“Inti pembelaan saya, rancangan keseluruhannya dibuat oleh Jho Low, bersama empat Arab, dua dari Arab Saudi dan dua lagi dari Abu Dhabi.

“Dan seluruh pengurusan 1MDB dan SRC semuanya telah dibayar oleh Jho Low, (mereka) semua makan dari tapak tangan Jho Low,” katanya semasa sidang akhbar hari ini.

Bagaimanapun, Shafee tidak mendedahkan identiti empat orang Arab yang dikatakan itu.

Beliau mempersoalkan kegagalan pihak berkuasa dalam mengesan Low yang menjadi buruan, yang dikehendaki di Malaysia dan beberapa negara lain berhubung skandal 1MDB, walaupun mendapat jaminan positif oleh Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador untuk menangkap Low.

“Saya tidak nampak bayangan Jho Low. Jadi apa sudah jadi? Adakah mereka sengaja menyembunyikan Jho Low dari kami? Kerana jika dia (Low) muncul hari ini di mahkamah ini dan ditangkap, pembelaan anak guam saya 100 peratus lebih baik,” katanya.

Dalam pernyataan pembukaan pembelaannya di mahkamah hari ini, Shafee mengkritik keputusan pendakwa untuk menahan kenyataan saksi Low daripada sesi soal siat oleh SPRM tahun lalu.

Mahkamah tinggi pada 15 Nov telah menafikan permohonan Najib untuk meminta pihak pendakwaan menyerahkan kenyataan saksi yang ditemuramah oleh SPRM dan polis tetapi tidak pernah memberi keterangan semasa peringkat perbicaraan oleh pendakwaan. Ini termasuklah kenyataan Low.

Semasa sidang akhbar itu, Shafee terus menunjukkan kesaksian bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping, yang memberi keterangan bahawa Low telah mengarahkannya untuk menyembunyikan butiran akaun Najib daripada perdana menteri itu.

Beliau mempersoalkan jika Najib bukan sebahagian daripada konspirasi, “mengapa Jho Low berminat untuk memastikan Najib tidak melihat penyata akaunnya?

“Ini satu soalan mudah yang perlu kamu tanya sendiri. Oleh itu, Najib bukan sebahagian daripada konspirasi. Najib ialah mangsa, sama seperti mangsa lain di dalam 1MDB dan SRC. ”

Yu, saksi pendakwaan, memberi keterangan pada bulan Julai bahawa Low telah menegaskan kepadanya bahaya penyata bank daripada akaun Najib di AmBank tidak boleh dihantar ke rumahnya di Taman Duta di Kuala Lumpur.

Yu juga mendakwa telah diarahkan oleh Low dan bekas ketua pegawai eksekutif SRC Antarabangsa Nik Faisal Ariff Kamil untuk tidak mendedahkan nama Najib apabila dana dimasukkan ke dalam akaunnya.

Sepanjang sidang akhbar, Shafee terus mengekalkan bahawa kakitangan peringkat pengurusan lain di kedua-dua syarikat itu mengetahui rancangan Low.

Beliau mendakwa CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi tidak “diperdaya” (misled) oleh Low tetapi “terbabit” dalam konspirasi yang dikatakan menjadikan Najib mangsa itu.

“Low telah memperdayakan ramai orang (termasuk Yang diPertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin dan Najib).

“Nama 1MSB belum lagi wujud … Shahrol yang mencadangkan ‘mari memanggilnya 1MDB’. Oleh itu, daripada satu penipuan TIA (Lembaga Pelaburan Terengganu), mereka (Loh dan Shahrol) meneruskannya di dalam 1MDB tanpa pengetahuan piha yang berkuasa, “katanya.

Shahrol, bagaimanapun, menafikan dakwaan pembelaan terhadap peranannya dalam konspirasi untuk meletakkan Najib, yang kini masih anggota parlimen Pekan, berada dalam kedudukan yang dikompromi.

Shahrol, saksi kelapan pendakwaan, telah memberi keterangan bahawa 1MDB adalah cetusan gagasan Najib.

TIA diambil alih oleh Kementerian Kewangan pada tahun 2009 dan namanya kemudiannya diubah menjadi 1MDB.

Najib sedang dibicarakan di mahkamah melibatkan tujuh pertuduhan – satu untuk penyalahgunaan kuasa, tiga untuk pecah amanah jenayah dan tiga wang haram – berhubung dakwaan menyelewengkan RM42 juta dana anak syarikat bekas 1MDB.

Perbicaraan memasuki hari ke-59 yang juga hari pertama tertuduh membela dirinya di mahkamah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");