Berita Hari Ini

Najib Nafi Beri Arahan Percepatkan Pinjaman SRC International

NAJIB Razak menafikan memberikan arahan kepada bekas Pengerusi Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) Wan Abdul Aziz Wan Abdullah untuk mempercepatkan pinjaman RM2 bilion kepada SRC International pada 2011.

Bekas perdana menteri ketika membaca keterangan saksinya hari ini mengulas mengenai keterangan Wan Abdul Aziz pada Julai bahawa Najib mahu pinjaman itu dipercepat, didakwa mengatakan “RM2 bilion sudah mencukupi”.

SRC International pada awalnya memohon pinjaman RM3.95 bilion pada 2011.

Bagaimanapun dari jumlah yang diminta RM2 bilion telah diluluskan dan entiti kerajaan kemudian meminta RM2 bilion pada tahun berikutnya.

Dalam menjelaskan kenyataan “RM2 bilion mencukupi” Najib memberitahu mahkamah hari ini bahawa ia telah diambil dari konteks memandangkan permintaan pinjaman RM3.95 bilion dikurangkan kepada RM2 bilion.

Najib menambah bahawa beliau tidak ingat ada membuat kenyataan itu, mengulas bahawa “tidak masuk akal untuk berbuat demikian” kerana beliau sudah dimaklumkan sebelum ini bahawa KWAP telah menetapkan pinjamannya kepada RM2 bilion.

Najib juga berkata bahawa permintaannya kepada KWAP untuk mempercepatkan keputusannya adalah untuk membenarkan badan-badan kerajaan lain memberi pinjaman kepada SRC International sekiranya KWAP enggan memberi pinjaman.

Mengenai sama ada beliau memberi arahan kepada Wan Abdul Aziz, Najib berkata “Saya tidak mempunyai kuasa mengarahkan panel pelaburan KWAP sama ada secara undang-undang atau amalan”.

Najib juga merujuk kepada minit mesyuarat panel pelaburan KWAP pada 19 Juali 2011: “Saya mendapati bahawa panel pelaburan tidak pernah bersetuju dengan pinjaman RM2 bilion”.

“Bagaimanakah perbincangan saya dengan Tan Sri Wan boleh dianggap sebagai arahan?.

“Ini adalah ketidakjujuran intelektual untuk menyamakan kuasa bagi “melantik dan memecat” dengan kuasa untuk mengarahkan panel pelaburan KWAP mematuhi sebarang arahan yang saya berikan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");