Berita Hari Ini

Nombor TAC Jadi Trend Terkini Para Scammer

KUANTAN – Alasan untuk mengemaskini atau membetulkan butiran akaun bank antara helah digunakan sindiket penipuan untuk memperdaya mangsa menyerahkan maklumat perbankan internet dan nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) sebelum wang dalam akaun bank mereka disapu licin.

Malah, ada juga beberapa kes di Pahang yang mana si penjenayah menggunakan alasan untuk membetulkan nombor telefon tersalah daftar, membatalkan pinjaman dan pembayaran bil hospital datuk dan nenek mangsa.

Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, sehingga September 2019, sebanyak sembilan kertas siasatan dibuka berkaitan penipuan menggunakan modus operandi seumpama itu.

“Daripada jumlah itu, enam kes dilaporkan di daerah Temerloh, dua kes di Kuantan dan satu kes di Rompin dengan jumlah kerugian lebih RM35,000,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Mohd Wazir berkata, berdasarkan kes-kes yang dilaporkan, suspek yang menyamar sebagai pegawai bank, polis, dan pegawai dari pelbagai agensi akan menghubungi mangsa melalui aplikasi WhatsApp, Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dan panggilan telefon dengan memaklumkan akaun bank milik mangsa ada masalah yang perlu dikemas kini.

“Suspek akan minta nombor TAC dari mangsa dengan alasan untuk mengemaskini butiran bank dan biasanya anggota sindiket penipuan itu menggunakan pelbagai alasan selain menggunakan nombor telefon yang berbeza setiap kali menghubungi mangsa.

“Walaupun kes-kes penipuan melibatkan scammer ini sering dilaporkan, namun masalah ini seolah tiada kesudahan apabila masih ramai yang menjadi mangsa penipuan ini yang menggunakan pelbagai modus operandi,” katanya.

Mohd Wazir berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai individu tidak dikenali sekiranya dihubungi apatah lagi sekiranya dimaklumkan terlibat dalam kes-kes jenayah, tunggakan pinjaman atau hutang kad kredit dan sebagainya atau sebarang perkara yang meragukan.

“Jangan sesekali menyerahkan maklumat bank, butiran perbankan internet dan nombor TAC kepada pihak yang tidak dikenali atas apa alasan sekalipun.

“Sebaik-baiknya sentiasa tukar kata laluan perbankan dalam talian dengan segera jika pernah berkongsi apa apa maklumat dengan individu lain,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");