Berita Hari Ini

Pelancong China, India Dikecualikan Visa Setahun, Kata Dr M

PETALING JAYA: Putrajaya mengumumkan pelancong dari China dan India dikecualikan visa selama setahun mulai 1 Jan depan dengan tempoh lawatan terhad kepada 15 hari tanpa sebarang lanjutan.

Dr Mahathir Mohamad yang menjalankan fungsi menteri dalam negeri berkata, pelancong China dan India perlu berdaftar dalam sistem pendaftaran dan maklumat perjalanan elektronik disediakan ketua pengarah seperti tertakluk di bawah subseksyen 2(1) Akta Pasport 1966.

“Pelancong hendaklah melakukan perjalanan ke Malaysia dalam tempoh 3 bulan selepas ia berdaftar dalam sistem pendaftaran dan maklumat perjalanan elektronik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Warta bertarikh 26 Dis itu turut menyatakan pelancong dari China dan India perlu mempunyai tiket penerbangan balik terus ke India atau ke negara lain, jika melakukan perjalanan melalui udara.

Perdana menteri berkata, pelancong dari China dan India juga perlu menunjukkan mereka mempunyai wang poket mencukupi, kad kredit atau kad bank serta jadual perjalanan di Malaysia.

“Pelancong berkenaan juga dibenarkan mendaftar semula sebagaimana dalam subperenggan (a) untuk memasuki Malaysia selepas tempoh 45 hari dari tarikh mereka meninggalkan Malaysia.”

Katanya, pelancong China dan India perlu masuk serta keluar dari Malaysia hanya melalui 7 pintu masuk di bawah subseksyen 5(1) Akta Imigresen 1959/63.

“Bangunan Sultan Iskandar di Johor, Stesen Keretapi Johor Bahru, Pos Kawalan Imigresen Kompleks Sultan Abu Bakar di Tanjung Kupang, Johor, Padang Besar di Perlis, Bukit Kayu Itam di Kedah, Sungai Tujoh di Sarawak dan Pos Kawalan Imigresen Tedungan di Batu Danau Limbang Bahagian Kelima, Sarawak.”

Malaysia menyasarkan kehadiran 30 juta pelancong dengan jangkaan pendapatan sehingga RM100 bilion untuk sektor pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");