Sukan Hari Ini

Pemain Tengah Filipina Lengkapkan Kuota Pemain Import Kedah

JITRA: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengikat pemain tengah Filipina, Amin Adam Lazarte Nazari, sekali gus melengkapkan 5 pemain import pasukan itu bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga-M) serta saingan Liga Juara-Juara Asia 2020 musim hadapan.

Naib Presiden KFA Anas Hafiz Mustaffa berkata, pemain berusia 26 tahun yang berasal dari Sweden dan mempunyai kerakyatan Filipina itu mengisi slot pemain import Asia bagi skuad Lang Merah dan dijangka mengemudi pasukan di bahagian tengah.

Katanya, Amin sebelum ini pernah beraksi bersama skuad kebangsaan Filipina serta kelab dari Thailand, Ratchaburi Mitr Phol FC.

“Saya dan barisan kejurulatihan mengambil sedikit masa dalam membuat keputusan yang teliti bagi memilih seorang ‘jeneral’ di bahagian tengah untuk melengkapkan slot terakhir pemain import dan berharap beliau dapat mengemudi posisi itu dengan cemerlang.

“Amin akan tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas pada 2.30 petang esok,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Bola Sepak 7 Sebelah Piala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, hari ini.

Kejohanan itu dirasmikan Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir yang juga Adun Jitra.

Amin melengkapkan 5 kuota import Kedah yang sebelum ini memiliki 2 pemain pertahanan Muhammad Shakir Hamzah dan Renan Da Silva Alves serta 2 penyerang Kpah Sean Sherman dan Kipre Tchetche Hermann Brice.

Dalam pada itu, Anas Hafiz berkata pihak pengurusan KFA turut mengikat penjaga gol, Mohd Azri Abdul Ghani, 20, yang beraksi bersama pasukan kebangsaan Bawah 19 tahun serta Felda United FC.

“KFA juga terpaksa melupakan hasrat untuk mendapatkan khidmat penyerang, Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew daripada PKNS FC selepas beliau disahkan tidak cukup cergas untuk memenuhi syarat utama kontrak profesional.

“Keputusan itu bukan mudah, namun keutamaan diberikan kepada persiapan pasukan yang mantap dalam menongkah cabaran musim hadapan, saya berharap agar Muhammad Jafri segera pulih daripada kecederaan dan dapat terus menyinar dalam arena bola sepak Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Mukhriz yang juga presiden KFA berkata pemain baru yang dibawa masuk ke skuad utama musim hadapan dibuat dengan teliti oleh ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak.

“Musim 2019 kita nombor 4 di Liga Super, Juara Piala FA dan Naib Juara Piala Malaysia serta layak ke Piala AFC, jadi kita kena teruskan kecemerlangan ini dan pentingnya kita buat perubahan dan saya kira kita sudah ada pasukan yang mantap,” katanya.

-Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");