Sukan Hari Ini

Perak Bison Merendah Diri

JURULATIH Perak Bison, Ismi Hissan Ismail tidak mahu menjadikan status sebagai juara Liga Premier Liga Sepak Takraw (STL) 2019 sebagai tekanan kepada barisan pemainnya bagi mengharungi saingan STL Champions Cup 2019 yang membuka tirai di Iskandar Malaysia Studios, Johor Bahru hari ini.

Sebaliknya, beliau mengharapkan anak-anak buahnya tampil dengan aksi lebih konsisten dan bersemangat untuk mencatat keputusan postif dalam setiap perlawanan yang dilalui.

“Saya lebih suka melihat kepada keadaan semasa dan menjadikan kejayaan sebelum ini sebagai pembakar semangat kepada para pemain untuk menampilkan aksi terbaik mereka.

“Saya pesan kepada anak-anak buah saya supaya jangan tertekan dengan status juara tetapi menganggap kita bermula daripada kosong. Saingan kali ini (Champions Cup) berbeza kerana kehadiran pasukan-pasukan daripada luar negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Ismi Hissan turut mengakui Perak Bison bakal berdepan laluan sukar dalam saingan Kumpulan A yang dibarisi dua pasukan tempatan – Negeri Sembilan Antlers dan Kelantan Warriors selain dua regu luar negara – Korea Haechi dan Singapore Lions.

“Setiap pasukan yang bertanding pasti mahu muncul sebagai juara. Insya-ALLAH kita akan berikan yang terbaik. Saya lebih suka lihat satu perlawanan demi perlawanan dan saya yakin kita boleh mencatat keputusan positif dengan kemampuan pemain yang ada,” ujarnya.

Menurutnya, Perak Bison tampil pada STL Champions Cup kali ini dengan mengekalkan barisan pemain asal iaitu tekong dari Thailand, Nattawut Naewprom selain barisan anak tempatan iaitu Muhammad Fadzil Mustapa, Muhammad Azwan Muhrim dan Amirul Ramadhan Fazillah Suhaimi dan Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin.

“Saya berpendapat saingan Champions Cup kali ini bukan lagi antara negeri, sebaliknya aksi menentang negara seperti Korea Selatan dan Singapura. Daripada situ, kita boleh nilai pemain Malaysia dalam soal ketahanan mental” jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Johor Tigris, Ahmad Jais Baharun lebih selesa pasukannya dilabel sebagai underdog apabila bersaing dalam Kumpulan B yang dibarisi ATM Guardians, Penang Black Panthers serta dua pasukan jemputan – China Great Wall dan Indonesia Garuda.

“Saya tidak mahu meletakkan apa-apa sasaran pada STL Champions kali ini kerana tidak mahu pemain-pemain tertekan. Apa yang penting adalah fokus dan konsisten pada setiap perlawanan.

“Sebagai pasukan tuan rumah, kita harap sokongan daripada penonton menjadi pembakar semangat kepada para pemain. Kami bertekad mempamerkan prestasi terbaik seterusnya dapat menyaingi pasukan-pasukan dalam Kumpulan B,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");