Berita Hari Ini

PH Kotorkan Istilah Manifesto, Kata Puteri Umno

Ketua Puteri Umno, Zahida Zarik Khan berkata, Pakatan Harapan (PH) telah mengotorkan istilah manifesto apabila gagal mengotakan janji pada pilihan raya umum lalu.

“Di luar sana ramai yang sudah menyatakan rasa mual dan muak dengan perkataan manifesto.

“PH telah mengotorkan istilah manifesto kerana anak muda merasa tertipu dengan manifesto yang berjela-jela tetapi hanya alat pembohongan untuk mendapatkan kuasa jangka pendek,” katanya.

Zahida berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Zahida berkata walaupun BN tidak pernah menjanjikan pendidikan percuma, namun rekod terdahulu menunjukkan kejayaannya membina sekolah dan institusi penganjian tinggi untuk rakyat.

Sementara itu, Zahida berkata Umno akan mengambil pendekatan dengan mengetengahkan gagasan Muafakat Nasional kepada golongan muda.

Ia bagi memastikan golongan itu terus bersama-sama dan menyokong dasar yang dibawa Umno dan PAS.

Lebih-lebih lagi, katanya, had umur mengundi telah diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Muafakat Nasional merupakan gagasan kerjasama antara kedua-dua parti itu yang dilancarkan pada 14 Sept lalu.

Justeru, kata Zahida, undi di kalangan anak muda adalah penting kerana mereka adalah penentu kepada kemenangan Muafakat Nasional pada pilihan raya umum akan datang memetik MKini.

“Kita akan sama-sama mengukuhkan keyakinan anak muda negara ini supaya mampu mencari titik persamaan di bawah gagasan Muafakat Nasional.

“Pergerakan Puteri ialah pergerakan anak muda. Muafakat harus dijadikan trend anak muda. Muafakat mesti menjadi jenama baru anak muda kita,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");