PETALING JAYA: Majlis Permuafakatan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) berharap kerajaan menerima pakai saranan bekas menteri kesihatan, S Subramaniam supaya mewajibkan semua murid Tahun 1 pada 2020 mengemukakan rekod imunisasi.
Presidennya, Mohamad Ali Hasan berkata perkara yang baik wajar diteruskan demi kesejahteraan semua pihak meskipun ia daripada kerajaan terdahulu.
“Kita tak tahu pendirian kerajaan sekarang berhubung wajib kemukakan rekod imunisasi ini tapi saya harap mereka setuju. Saya fikir ada baiknya kerajaan ambil semula, perkara yang baik patut diteruskan.
“Ini perlukan kerjasama Kementerian Kesihatan dan pendidikan mengeluarkan kenyataan supaya menguatkan lagi kefahamaan berhubung keperluan vaksin serta meyakinkan lagi ibu bapa,” katanya kepada FMT.
Pada 2016, Subramaniam mengumumkan murid Tahun 1 pada 2020 wajib mengemukakan rekod imunisasi bagi memastikan semua keperluan suntikan vaksin mencukupi.
Tahun lalu, Malaysia berada di tangga ke-10 yang merekodkan kes demam campak tertinggi bermula September 2017 hingga Februari 2018 dan sebanyak 18 kes difteria dilaporkan dengan 5 kematian pada tahun lalu.
Tahun yang sama juga, kes batuk kokol atau pertussis dilaporkan di Keningau Sabah melibatkan 2 individu bukan warganegara iaitu bayi dan ibunya.
Mengulas lanjut, Ali menyeru ibu bapa yang menolak vaksin agar bertenang dan berfikiran terbuka demi kesihatan semua pihak.
“Memang vaksin ini hak individu tapi saya haraplah ibu bapa dan penjaga lebih terbuka demi masa depan warganegara kita pada masa akan datang.
“Bertenang, ini demi melindungi masyarakat awam juga. Tak ada salahnya pun jika vaksin anak-anak kita demi elak dijangkiti penyakit. Kebelakangan ini pun pelbagai penyakit timbul semula,” katanya.
Tambahnya, sebagai ibu bapa bertanggungjawab, mereka perlu memastikan setiap anak menerima suntikan vaksin seperti yang disarankan Kementerian Kesihatan lapor FMT.