Panasnya Hari Ini

PKR Dakwa Ada Penipuan Bertujuan Nak Malukan Anwar

PKR mendakwa terdapat penipuan oleh pemimpin tertentu yang telah memanipulasi kenyataan asal bagi tujuan untuk memalukan presiden parti Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin mengulas laporan kenyataan bersama 19 anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) termasuk timbalan presidennya Mohamed Azmin Ali yang menolak pemecatan bekas ketua cabang Bera, Zakaria Abdul Hamid.

“Apa yang nyata, adalah merupakan satu kesalahan yang serius kerana ada kalangan yang menipu dan mengelirukan beberapa pimpinan termasuk Tian Chua serta Sivarasa Rasiah.

“[…] di mana persoalan yang timbul ialah bagaimana nama mereka telah dimasukkan di dalam kenyataan yang telah ditandatangani oleh timbalan presiden. Natijahnya persepsi yang salah dengan sengaja telah diwujudkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, PKR juga terkejut dengan kenyataan Tian dan Sivarasa yang telah menafikan mendesak permohonan maaf daripada Anwar dalam kenyataan asal yang ditandatangani mereka.

“Dengan kenyataan mereka itu secara tuntas menunjukkan terdapatnya penipuan oleh segelintir pemimpin tertentu yang telah memanipulasi deraf kenyataan asal yang bertujuan untuk memalukan Presiden PKR Anwar Ibrahim,” katanya.

Pada 30 November lalu, Malaysiakini melaporkan 19 daripada 64 ahli MPP PKR menolak pemecatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Zakaria Abdul Hamid dan sebaliknya menganggap ia tidak sah kerana tidak melalui proses sepatutnya.

Antara mereka ialah Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali. Turut dikaitkan dengan bantahan itu ialah bekas ahli parlimen Batu, Tian Chua; Menteri Besar Selangor Amirudin Shari; dan Menteri Luar, Saifuddin Abdullah.

Anwar dilaporkan tidak melayan tuntutan agar beliau memohon maaf ekoran pemecatan Zakaria dan menyifatkan kenyataan bersama tersebut – yang mengandungi desakan itu – boleh dipertikaikan.

Beliau juga mendakwa dua pemimpin yang menandatangani kenyataan itu, Tian dan Sivarasa, mempertikai sebahagian kandungan kenyataan berkenaan.

Bagaimanapun, tiada kenyataan khusus direkodkan melalui kedua pemimpin tersebut.

Sementara itu, PKR juga memberi amaran tidak akan bertolak ansur terhadap pihak yang cuba untuk menggugat keharmonian parti dan menggesa agar tumpuan kini diberikan kepada kongres keadilan nasional yang akan berlangsung minggu ini.

Untuk rekod, PKR melucutkan keanggotaan Zakaria dan seorang lagi ahli PKR Pahang, Ismail Dulhadi selepas mendapat surat daripada SPRM memaklumkan tentang siasatan atas dakwaan rasuah terhadap kedua-dua mereka.

Bagaimanapun, SPRM kemudiannya berkata suruhanjaya itu khilaf menghantar surat tersebut kepada parti politik.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");