Membawang Hari Ini
Like

Punca Tun M ‘Merajuk’ Terjawab Dalam Filem

December 28, 2019
362 Views
0 Comments
5 minutes read
Punca Tun M ‘Merajuk’ Terjawab Dalam Filem

KUALA LUMPUR: Tidak ramai tahu Tun Dr Mahathir Mohamad pernah `merajuk’ dan membawa diri ke London, pada akhir 2017.

Apa yang mendorong beliau kembali, siapa yang memberi kata-kata semangat kepadanya untuk menerima kembali jawatan Perdana Menteri dan kenapa Dr Mahathir memendekkan cutinya ketika di Hiroshima, pada 2003?

Jawapannya boleh diketahui apabila filem `Mahathir, The Journey’ arahan Profesor Dr Hatta Azad Khan yang dijangka menemui penonton tahun depan.

“Itulah kekuatan filem ini,” kata Hatta kepada BH selepas sesi penggambaran hari ketiga filem berkenaan di Balai Berita, The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) di sini, hari ini.

Hatta berkata, keunikan filem ini adalah kerana ia mengetengahkan banyak elemen kekeluargaan, pengorbanan, pemikiran, kekuatan Tun M serta kisah-kisah yang tidak pernah didedahkan.

Katanya, penonton akan dibawa melihat kehebatan Tun M mengakhiri persengketaan 18 tahun dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim selain menyertai dan mengetuai parti politik yang sebelum ini menentangnya.

“Bagaimanapun, perlu ditekankan filem ini adalah naskhah seni yang jujur yang mana bukan sahaja sisi kekuatan Tun diketengahkan tetapi juga sisi kelemahannya mengikut pandangan umum masyarakat.

“Tun M secara peribadi memaklumkan supaya jangan terlalu menyanjungnya tetapi paparlah kebenaran.

“Ada satu watak fiksyen antagonis, namanya Datuk Sapin lakonan Riduan Hashim diwujudkan yang mewakili pelbagai pandangan umum walaupun secara negatif, kita boleh lihat bagaimana cara Tun M mengendalikan kritikan itu.

“Kami tidak memberi tumpuan kepada isu politik tetapi menceritakan keperibadiannya sebagai pemimpin, sebagai negarawan, ayah, suami, datuk dan manusia seperti kita,” katanya.

Filem `Mahathir, The Journey’ diterbitkan Reliance Media Group Sdn Bhd bakal mengangkat kisah perjuangan Dr Mahathir selepas meletakkan jawatan pada 2003.

Filem biopik yang membabitkan kos RM6 juta dan dijangka tamat penggambaran pada Februari depan menampilkan kisah benar tokoh disegani dunia itu selepas meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri keempat sehinggalah dilantik semula pada 2018.

Filem itu membabitkan beberapa lokasi penggambaran di Lembah Klang, Putrajaya, Langkawi dan Hiroshima, Jepun.

`Mahathir, The Journey’ menampilkan pelakon Azhar Amir sebagai Dr Mahathir, Fauziah Latiff (Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali), Ning Baizura (Marina Mahathir), Hilal Azman (Datuk Seri Anwar Ibrahim), Dian P Ramee (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) dan Lisdawati (Nurul Izzah).

Dalam pada itu, Produser yang juga Ketua Bahagian Kreatif Reliance Media Group Sdn Bhd, Yusuf Kelana, berkata pihak produksi mengucapkan terima kasih kepada NSTP kerana memberi kerjasama yang baik untuk lokasi penggambaran hari ini.

“Pemilihan NSTP sebagai lokasi penggambaran juga sebagai penghargaan kami kerana banyak berita berkaitan penghasilan filem ini yang disiarkan di semua akhbar bawah Kumpulan NSTP.

“Filem ini turut memaparkan peranan wartawan sebagai ‘watchdog’ dalam kejatuhan serta kebangkitan semula pemerintah dalam negara.

“Terdapat satu watak wartawan dari Perancis yang amat meminati ketokohan Tun M dan sentiasa mengikuti perkembangan Tun M dari awal turut diketengahkan dalam filem ini,” katanya.

Beliau berkata, perwatakan, ketokohan dan kedudukan Tun adalah sebagai rujukan buat generasi masa depan dan satu kerugian besar jika ia tidak dimanfaat sebaik mungkin.

“Elemen yang menyentuh perasaan digarap dalam filem ini mengambil kira pengorbanan yang dilalui keluarganya yang terpaksa melepaskan dirinya sebagai pemimpin, berkongsi hak dengan rakyat dan negara.

“Banyak kesedihan yang dilalui, yang dipendam ahli keluarga terdekat dan Tun M yang tidak pernah diketahui umum akan diceritakan dalam filem ini,” katanya.

Katanya, ketelitian fakta amat penting sehingga 14 kali skripnya diteliti dan dirombak sebelum mendapat kelulusan Pejabat Perdana Menteri, tujuh bulan penyelidikan dan kajian karektor serta saringan pelakon dilakukan sebelum penggambaran dimulakan 26 Disember lalu.

“Apa yang saya harapkan usaha pemasaran filem ini akan digiatkan untuk menembusi pasaran antarabangsa kerana Tun bukan sahaja tokoh disegani di negara ini, malah pengaruhnya meletakkan dia antara tiga pemimpin negara Islam yang sentiasa diikuti di peringkat dunia.

“Penerbitan filem biopik ini adalah sebagai satu khazanah seni untuk paparan generasi akan datang dalam mengingati perjuangan seorang negarawan terulung,” katanya.

Komen & Pendapat

Comments are closed.