Perak Hari Ini

Pusat TVET Dijangka Mula Operasi Tahun Hadapan

IPOH- Kerajaan Perak menjangkakan pusat Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) pertama negeri yang terletak di Bidor akan mula beroperasi menjelang Mac atau April tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia, A. Sivanesan berkata sebanyak 13 kursus bakal ditawarkan kepada pelajar dari lima kawasan parlimen yang terlibat.

“Pusat ini merupakan projek pertama di mana pada peringkat awal ia bakal mewujudkan seramai 150 pelatih dikalangan pelajar yang baru menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Pelajar dari lima kawasan parlimen yang terlibat adalah Tanjung Malim, Bagan Datuk, Teluk Intan, Tapah dan Kampar di mana terdapat penawaran sebanyak 13 kursus yang akan memberi peluang pekerjaan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Kata Sivanesan, projek ini telah mendapat kelulusan kerajaan negari dan akan beroperasi di bawah kerajaan negeri di mana turut mendapat kebenaran dari Jabatan Pendidikan Negeri serta Pejabat Pelajaran Daerah (PPD).

“Pemilihan pelajar adalah melalui sekolah di mana guru akan memberikan senarai nama dan pelajar juga akan ditemuduga kemudian jika lulus akan terus dihantar untuk mengikuti kursus yang ditawarkan,” katanya.

Katanya, disebabkan tiada pusat TVET di kawasan Utara dan Selatan, kebanyakkan anak muda akan mula berhijrah ke Lembah Klang dan melalui cara ini, anak muda akan kurang berhijrah.

“Melalui pusat TVET ini, sudah ada kilang yang sanggup mengambil pelajar-pelajar ini dan memberi ‘aku janji’ bahawa mereka akan menghantar semula pekerja rajin untuk diberi latihan.

“Dengan cara ini, pihak majikan juga tidak perlu mempertikaikan nilai gaji minimum kerana dengan kemahiran tersebut, seorang pelajar yang berumur 19 tahun boleh mendapat gaji tidak kurang dari RM1,300 hingga RM1,500 selepas menghadiri kursus selama enam bulan,” katanya.

Terdahulu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyempurnakan Majlis Pelancaran SkillsMalaysia 2.0: Skilis4All; Towards New Collar Jobs anjuran Kementerian Sumber Manusia di Institut Latihan Perindustrian (ILP).

SkillsMalaysia 2.0 adalah untuk meningkatkan kesedaran terhadap TVET dan latihan kemahiran yang boleh memberi peluang kerjaya ke arah mencapai negara maju, sekaligus memperkasakan bidang TVET kepada anak muda.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");