Perak Hari Ini

Saya Hanya Mahu Jumpa Suami Saya – Isteri Kedua Samy Vellu

IPOH: Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini memutuskan pendengaran permohonan interim oleh E Meeriam Rosaline berhubung permohonan akses kepada Bekas Menteri Kabinet, Tun Dr S Samy Vellu dijadualkan pada 17 Disember ini.

Ia merupakan permohonan interim yang difailkan Meeriam  selepas dia tidak dibenarkan bertemu dengan bekas Presiden MIC itu serta tidak lagi dibayar nafkah sebanyak RM25,000 sebulan seperti biasa.

Permohonan berkenaan difailkan pada Mac lalu dan didengar di hadapan Hakim Datuk Hashim Hamzah hari ini.

Peguam RSN Rayer dan Ramesh Sivakumar yang mewakili Meeriam memberitahu pemberita bahawa Hakim telah menetapkan agar pendengaran permohonan interim yang difailkan anak guamnya disambung pada 17 Januari tahun hadapan.

Katanya penangguhan permohonan interim itu difailkan Vell Paari, yang memohon pengisytiharan daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa bapanya mengalami kecelaruan mental dan tidak berupaya untuk menguruskan hal ehwal dirinya.

 

“Meeriam dan Samy Vellu berkahwin secara sah dan tradisional pada 1981 di sebuah hotel di Kuala Lumpur,” kata Rayer kepada pemberita di Mahkamah Tinggi Ipoh, hari ini.

Namun difahamkan mereka tidak mempunyai cahaya mata hasil daripada perkahwinan mereka itu.

Sementara itu, menurut Meeriam Samy Vellu telah menyara kehidupannya sebagai isteri kedua selama ini dengan baik selain menyediakan tempat tinggal berserta pembantu rumah.

Katanya kali terakhir dia berjumpa dengan Samy Vellu pada Jun lalu di sebuah restoran di Ibu Negara.

Dia mendakwa dalam pertemuan sekitar sejam itu Samy Vellu berada dalam keadaan sihat selain turut meminta untuk dia tidak datang lagi ke Kuala Lumpur kerana bimbang Vell Paari akan mengancam keselamatan dirinya.

“Saya berjumpa dengannya dalam sekitar sejam. Kita berbual secara normal dan kesihatan mental ‘suami’ saya adalah baik.

“Namun dia katakan kepada saya agar tidak datang ke Kuala Lumpur dan memberitahu yang dia akan datang ke Ipoh untuk menemui saya.

“Pada hari seterusnya yang sepatutnya kami berjumpa, Vell Paari telah menghalang nombor telefon saya. Disebabkan itu saya tidak dapatkan lagi untuk berjumpa atau mengetahui kedudukan suami saya.

“Saya tidak tahu apa yang saya patut lakukan dan bagaimana saya untuk meneruskan kehidupan. Saya hanya mahu berjumpa suami saya kembali,” katanya ketika ditemui pemberita di Mahkamah Tinggi Ipoh, hari ini.

Terdahulu sebuah portal melaporkan pada Isnin, Vell Paari mengesahkan beliau memfailkan saman pemula terhadap Samy Vellu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menentukan sama ada bapanya itu mempunyai masalah mental dan tidak mampu menguruskan hal ehwal sendiri.

Katanya, tindakan itu juga diambil disebabkan dua perkara iaitu saman Meeriam Rosaline terhadap bapanya dan diagnosis pada 2017 yang mendapati Samy Vellu mempunyai demensia akibat masalah Alzheimer.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");