IPOH: Kerajaan Perak bersedia mengkaji sebarang pandangan berhubung larangan penjualan minuman keras di Pulau Pangkor selepas ia diisytiharkan sebagai Pulau Bebas Cukai (PBC) mulai 1 Januari nanti.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing berkata setakat ini Kerajaan Perak telah memutuskan untuk tidak membenarkan penjualan minuman tersebut.
Namun katanya perkara itu akan dikaji semula sekiranya terdapat pandangan atau permintaan yang munasabah khsusnya daripada pemain-pemain industri pelancongan.
“Kita telah bersetuju bahawa untuk menjadikan semua barangan yang dijual nanti di Pulau Pangkor adalah bebas cukai termasuk rokok.
“Walau bagaimanapun berkenaan arak, ia belum dimuktamadkan. Namun setakat ini ia masih tidak dibenarkan.
“Kerajaan negeri bersedia untuk mengkaji semula dasar tersebut jika ada permintaan yang munasabah.
“Kita akan mengkaji ia semula dan mungkin akan ada tempat-tempat tertentu bagi penjualan minuman itu. Atau jika tidak ada permintaan, ia tidak akan dilaksanakan,” katanya.
Namun ujarnya lagi, kerajaan negeri akan tetap mengutamakan segala dasar yang boleh menjaga kepentingan pemain industri pelancongan dan penduduk setempat.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita pada sidang media Program Jelajah Persona Selangor 2019 di Hotel Kinta Riverfront, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari.
Terdahulu terdapat dakwaan beberapa pemain industri pelancongan yang menyebut bahawa rokok dan minuman keras turut tersenarai dalam barangan bebas cukai di Pulau Pangkor.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada Oktober lalu telah menyebut bahawa kerajaan negeri masih mempertimbangkan agar rokok akan disenaraikan dalam senarai barangan bebas cukai namun tidak kepada minuman keras.
Dalam perkembangan sama, mengulas lanjut berkenaan kesediaan Pulau Pangkor menjelang pengisytiharanya sebagai PBC mulai 1 Januari nanti, Kar Hing berkata segalanya berjalan lancar dan ia dijadualkan siap dalam masa yang ditetapkan.
Katanya berdasarkan laporan semasa oleh jawatankuasa pelaksana yang diketuai Setiusaha Kerajaan Negeri sebelum ini, segala kemudahan dan insfrastruktur asas telah dan sedang giat dibangunkan serta dinaiktaraf dengan nilai peruntukan RM10 juta.
Antaranya termasuk naiktaraf jeti, pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), kawasan-kawasan perniagaan, naiktaraf jalan raya, papan tanda landskap serta kelengkapan pencahayaan.