Berita Hari Ini

SEKAT Serah Resolusi, Sedia Berdialog Isu Tulisan Jawi

PUTRAJAYA: Gabungan Seni Khat Action Team (SEKAT) serta Jawatankuasa Khas Pembelajaran Jawi Kuala Lumpur dan Selangor, menyerahkan tujuh resolusi penolakan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular kepada Kementerian Pendidikan hari ini.

Memetik laporan BH Online, resolusi itu diserahkan oleh Setiausaha SEKAT, Arun Doraisamy dan Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembelajaran Jawi Kuala Lumpur dan Selangor, Datuk Eddie Heng kepada Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan), Dr Habibah Abdul Rahim.

Arun berkata, pihaknya menyerahkan keputusan tujuh resolusi yang diluluskan pada Kongres Kebangsaan Jawi di Petaling Jaya, kelmarin.

Pihaknya turut mencadangkan kepada kementerian agar isu pembelajaran tulisan Jawi itu diselesaikan secara dialog membabitkan semua peringkat termasuk Kabinet bagi mencapai kesepakatan.

“Kami sedia berdialog kerana sebelum ini tidak ada pihak yang memberi peluang untuk membincangkan isu itu secara terbuka dengan menghormati sentimen semua kaum,” katanya di sini.

Pada Kongres Kebangsaan Jawi semalam, kira-kira 1,200 peserta dan penganjur diketuai SEKAT, antara keputusan resolusi itu adalah bantahan pelaksanaan pengajaran tulisan jawi secara paksaan tanpa rundingan dan gesaan agar pelaksanaannya dijadikan pilihan dan bukan dimasukkan ke dalam Sukatan Pelajaran Tahun 4 Bahasa Malaysia.

Selain itu, resolusi itu menyeru kerajaan mengangkat semangat Akta Bahasa Kebangsaan dengan menegakkan hak sekolah vernakular untuk pembelajaran bahasa ibunda masing-masing.

Mengulas lanjut, Arun berkata, pihaknya turut mencadangkan kepada kementerian agar mengadakan mesyuarat dan pertemuan dengan enam wakil berkepentingan terdiri NGO Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak serta Orang Asli sebelum perkara itu dilaksanakan.

Kementerian sepatutnya mementingkan pemerkasaan mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah, khususnya sekolah vernakular kerana peratusan pelajar yang gagal dalam subjek itu sangat tinggi pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) setiap tahun.

“Perkara itu sepatutnya diutamakan kerana ia boleh mendidik dan mewujudkan nilai murni dalam kalangan semua rakyat Malaysia.

“Kita menjemput semua pihak untuk berdialog bagi membincangkan isu itu dengan tidak meminggirkan keharmonian semua golongan yang dibina di negara ini sejak merdeka,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");