Perak Hari Ini

Seorang Remaja Wanita Dipercayai Jadi Tempat Pemuas Nafsu

IPOH: Seramai 40 warganegara China termasuk dua wanita dalam lingkungan umur 18 ke 54 tahun dicekup Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak di sebuah banglo dua tingkat di Jalan Tun Dr Ismail dekat sini, semalam.

Pengarah Imigresen Perak, Kamalludin Ismail berkata operasi melibatkan 26 pegawai dan anggota JIM negeri yang dijalankan bermula jam 4.30 petang sehingga 6.30 petang itu merupakan hasil risikan selama empat hari di premis yang dipercayai disewakan daripada warga tempatan.

Katanya kesemua mereka disyaki menjalankan aktiviti atas talian yang dipercayai sudah beroperasi sejak dua minggu lalu selain dipercayai aktiviti itu menyasarkan mangsa-mangsa di China.

Menurutnya dalam operasi tersebut antara dirampas ialah 80 unit telefon pintar, 31 buah komputer, tujuh buah ‘router’, 76 kad mesin juruwang automatik (ATM) pelbagai bank, 20 keping kad kredit China dan 31 kad pengenalan negara China.

Selain itu, wang kertas yang terdiri daripada pelbagai jenis mata wang dalam dan luar negara juga dirampas.

“Siasatan awal mendapati mereka telah melakukan kesalahan iaitu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah selain menyalahgunakan pas pelancong. Siasatan dilakukan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.

“Kita akan menjalakan siasatan lanjut dan kita akan cuba mencari dalang di sebalik kegiatan jenayah ini,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan Kementerian Dalam Negeri Meru Raya, di sini, hari ini.

Selain itu, Kamalludin berkata hasil riskan empat hari itu, didapati tiada sebarang pergerakan keluar dan masuk dan hasil siasatan awal juga mengesyaki mereka menjadikan premis terbabit sebagai seolah-olah pusat sehenti yang mana bekalan makanan serta keperluan asas lain sudah tersedia di situ.

Malah katanya pergerakan hanya berlaku apabila ada urusan penghantaran pembelian makanan yang dibuat secara atas talian.

Pada masa sama katanya salah seorang wanita yang berusia 24 tahun yang juga ditahan dipercayai menjadi tempat pemuas nafsu kesemua yang berada dalam premis itu.

“Selain tempat tinggal dan tempat menjalankan aktiviti atas talian mereka itu, semasa serbuan kita juga menjumpai puluhan kondom yang telah dan belum digunakan.

“Kita ada menahan dua wanita. Salah seorangnya disyaki menjadi tempat pemuas nafsu dan seorang lain yang berusia 54 tahun itu menjadi tukang masak. Kita mengesyaki mereka turut melakukan aktiviti tidak bermoral di situ,” katanya.

Sementara itu, Kamalludin berkata tangkapan tersebut adalah yang terbesar setakat ini di Perak dan hasil siasatan kes tersebut akan disalurkan kepada agensi lain yang berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk tindakan lanjut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");