Perak Hari Ini

Seru Pupuk Minat Mendalam Seni Silat Kepada Golongan Muda

LUMUT: Semua pihak diseru untuk memupuk minat dan pemahaman mendalam terhadap seni persilatan Melayu dalam kalangan generasi muda.

Orang Besar Jajahan (OBJ) Manjung, Datuk Shaharudin Nazari hal ini kerana jika tidak berbuat demikian, tidak mustahil seni warisan Melayu yang berusia ratusan tahun itu akan pupus ditelan zaman.

“Seni silat ialah warisan bangsa turun-temurun daripada pahlawan Melayu. Jika ia tidak dipelajari bersungguh-sungguh ia berkemungkinan akan pupus. Oleh itu para penggiat dan pengamal seni persilatan perlu bertanggungjawab dalam memelihara pusaka bangsa ini.

“Bagi menjadi pewaris nenek moyang ini, generasi muda akan datang perlu terlebih dahulu memahami selok-belok seni pusaka budaya ini kerana jika tidak, warisan ini tidak dapat dihayati dengan baik.

“Semoga silat akan terus mekar dan segar dalam jiwa anak-anak bangsa kita sebagai penguat roh dan jasad,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Istiadat Penganugerahan Sandang kepada 70 individu dan Majlis Makan Malam Bersama Anak Yatim anjuran Pertubuhan Silat Seni Gerak Sendi Naga Malaysia (GSN) di Dewan Khatulistiwa Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL MIMET), di sini, malam tadi.

Beliau yang juga penaung kepada pertubuhan itu berkata seni silat pada masa kini dilihat semakin berjaya menarik minat agensi kerajaan dan swasta.

Katanya ia kerana hasil daripada ilmu persilatan ia dilihat berjaya melahirkan insan yang beradab yang sejajar dengan matlamat agensi-agensi terbabit selain menepati nilai prinsip rukun negara.

Sementara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Silat Seni GSN Mohd Farizul Abdul Rahman dalam ucapannya berharap agar pertubuhan silatnya dapat terus diperkembangkan lagi.

Ujarnya pada masa kini, pertubuhan yang baru memasuki tahun ketiga penubuhan itu telah berada di Perak dan Selangor manakala penubuhan di Thailand pula hasil gabungan dengan Pertubuhan Seni Silat Harimau Patani.

Difahamkan sehingga kini, keanggotaan Pertubuhan Silat Seni GSN terdiri daripada 5,350 orang.

Pada majlis tersebut selain lebih daripada 25 perguruan silat dari seluruh negara yang hadir, turut diraikan 12 anak-anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Ikhwan Bistari Perak, Beruas.

Antara turut hadir, Penaung Diraja GSN, Raja Shuibah Almarhum Sultan Idris Shah; Penasihat GSN, Ismail Chik; Tokoh Pahlawan GSN, Jusnizam Ramli serta Wak Didi@Juri Pendekar Muda, Ruzaidi Abdul Rahman.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");