Berita Hari Ini

Siasatan Kes Babitkan 680 Warga China Masih Berlangsung

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen masih menjalankan siasatan terhadap sindiket penipuan dalam talian yang dikendalikan warga China di Cyberjaya, sama ada ia melibatkan ‘Macau Scam’ atau sebaliknya, kata Ketua Pengarahnya Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Beliau berkata tahanan reman terhadap 680 warga China pada 20 Nov lepas kerana disyaki terlibat dalam sindiket penipuan dalam talian di Cyberjaya itu dilanjutkan 14 hari lagi bermula hari ini, selepas tempoh reman sebelum ini tamat semalam.

“Lanjutan itu bertujuan membolehkan Jabatan Imigresen melakukan siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/1963, dan juga siasatan mengenai kes berkenaan,” katanya dalam sidang media bersama Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Shaharuddin Khalid mengenai operasi bersepadu Jabatan Imigresen dan JPJ, di sini hari ini, lapor Bernama.

Pada 20 Nov lepas, Jabatan Imigresen menyerbu sebuah bangunan enam tingkat di Cyberjaya kerana disyaki menempatkan ahli sindiket penipuan dalam talian, dimana 680 warga China ditahan, manakala lebih 100 orang lagi berjaya melarikan diri.

Sementara itu merujuk kepada isu mengenai pelancong China yang tinggal melebihi tempoh dalam negara, Khairul Dzaimee berkata mungkin terdapat isu teknikal yang membabitkan kelemahan sistem sehingga wujud perbezaan angka dengan Jabatan Audit Negara.

“Ada kemungkinan juga mereka ini ialah pemegang pas lawatan sosial jangka panjang contohnya isteri atau suami kepada warga tempatan, mungkin juga pelajar, pekerja atau ekspatriat,” katanya, sambil menambah Jabatan Imigresen akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Audit Negara berhubung perkara itu.

Laporan audit yang dikeluarkan pada Isnin lepas menyebut tiada rekod tarikh keluar lebih 95 peratus pelancong China dan India yang melawat ke negara ini antara 2016 sehingga tahun lepas.

Menurut laporan itu, berdasarkan data ketibaan sepanjang tempoh berkenaan, daripada 79,799 warga China, didapati sebanyak 76,258 tidak mempunyai rekod tarikh keluar dari negara ini.

Bagaimanapun semalam, Khairul Dzaimee dilaporkan berkata berdasarkan semakan imigresen, jumlah sebenar pelancong China yang tidak keluar dari negara ini hanyalah 23 peratus (18,341) dan bukannya 95.6 peratus (76,258) seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Audit Negara.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");