Berita Hari Ini

Tangguh Mansuh BIPK Suntikan Moral Kepada Petugas Baharu

SEGAMAT: Kementerian Kesihatan mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk menangguh pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) dan berharap ia menjadi suntikan moral kepada kakitangan kesihatan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata penangguhan itu akan memberi faedah kepada sekitar 7,000 kakitangan kesihatan baharu pada tahun depan.

Katanya ia secara tidak langsung menjadikan BIPK sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan kakitangan kesihatan kepada negara.

“Kita mengalu-alukan sekiranya ia (pemansuhan BIPK) ditangguh sebab kita lihat mereka yang bekerja di hospital dan kemudahan kesihatan perlu bekerja secara syif .

“Mereka juga kadang-kala turut menghadapi risiko jangkitan kuman dan sebagainya. Jadi elaun BIPK ini memang menjadi satu penghargaan terhadap sumbangan mereka di bidang ini.

“Kita harap keputusan menangguhkan ini dapat dilakukan supaya moral mereka tidak terjejas untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya, sebagaimana dilaporkan BH Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Pusat Hemodialisis Jementah di sini, hari ini.

Yang turut hadir, EXCO Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jementah, Tan Chen Choon dan Pengerusi Pertubuhan Hemodialisis Muhibbah Segamat, Tan Sri Tan Beng Tong.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju menangguhkan pemansuhan BIPK bagi penjawat awam 33 Skim Perkhidmatan Kritikal.

Dr Boo Chye berkata, pihaknya juga bersyukur sekiranya perkara itu dapat ditangguhkan kerana ia akan dapat memberi manfaat kepada kakitangan kesihatan lantikan baharu kelak.

“Saya tak ada jumlah yang tepat sekarang (kakitangan kesihatan) tetapi kita lihat pelaksanaan di peringkat permulaan adalah untuk kakitangan lantikan baharu dan ini membabitkan kira-kira 7,000 kakitangan kesihatan baharu pada 2020.

“Kita bersyukurlah sekiranya ia ditangguhkan supaya kakitangan lantikan baharu ini juga dapat menikmati BIPK. Jadi ini akan ada impak terhadap moral mereka dan kita alukan sekiranya ia boleh ditangguhkan selamanya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");