Perak Hari Ini

Terserah Kepada Dewan Negara – Kulasegaran

IPOH: Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran menyerahkan kepada Dewan Negara berkenaan pembentangan bacaan kali ketiga berkenaan usul Pindaan Akta Perhubungan Perusahaan (APP) 1967.

Katanya, pihak pembangkang mempunyai hak untuk membantah pindaan tersebut bagaimanapun, beliau berharap ia dapat diluluskan demi memperkasakan hak pekerja di negara ini.

“Itu biar Ahli-ahli Dewan Negara buat keputusan dan saya tidak boleh memaksa untuk kesemua mereka menyokong pindaan itu.

“Berkenaan dakwaan pihak pembangkang cuba berpakat untuk menggagalkan ia, terserah pada mereka.

“Sama ada untuk bergabung sesama pihak pembangkang atau sebagainya, itu hak mereka. Hak saya ialah untuk meluaskan dan memperkuatkan peranan kesatuan sekerja di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan kenyataan Exco Kerajaan Negeri A Sivanesan yang mendedahkan bahawa terdapat gerakan untuk cuba menggagalkan pindaan APP 1967 yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 8 Oktober lalu.

Sivanesan dilaporkan berkata tindakan yang mahu cuba melobi para Senator pembangkang untuk menolak pindaan itu disifatkan sebagai satu pengkhianatan kepada 12.7 juta golongan pekerja di negara ini.

Mengulas lanjut, Kulasegaran berkata pihak-pihak seperti Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sarawak telah menyatakan sokongan kepada pindaan tersebut.

“Mereka menyatakan sokongan kepada pindaan itu dan mereka juga menyebutkan bahawa ia sepatutnya sudah lama dilaksanakan.

“Inilah inisiatif baru yang kita buat dan saya sangat berharap apabila ia dibentangkan nanti ia akan mendapat sokongan besar dalam kalangan Ahli-ahli Dewan Negara,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu Kulasegaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat itu telah merasmikan Program Komuniti Ceria dan Gembira anjuran Persatuan Seni Halus Ipoh di Pangsapuri Kinta Heights, di sini, hari ini.

Difahamkan acara kebudayaan dan kesukarelawanan yang memasuki edisi keenam penganjuran itu turut melibatkan peserta kanak-kanak dari masyarakat Rohingya.

Selain warga tempatan, ia juga disertai kumpulan sukarelawan antarabangsa seperti dari Ukraine, Itali, Perancis serta Jerman.

Kulasegaran berharap acara sedemikian dapat diperluaskan ke seluruh negara supaya ia dapat mempertingkatkan nilai integrasi khususnya terhadap golongan muda.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");