Perak Hari Ini

Tiada Keperluan Wajibkan Suntikan Vaksin Setakat Ini

IPOH: Setakat ini, kerajaan tidak akan mewajibkan suntikan vaksin kepada semua bayi atau kanak-kanak di negara ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.

Jelasnya terdapat pelbagai mekanisme lain yang dilihat mampu meningkatkan kesedaran terhadap keperluan vaksinasi kepada anak-anak.

Misalnya menerusi pendidikan dan kempen-kempen pihak Kementerian Kesihatan yang dilaporkan berjaya mencapai kadar 95 peratus vaksinasi kepada golongan tersebut.

“Kita memang ada menerima cadangan untuk mewajibkan vaksinasi namun jika kita lihat pada keberkesanan vaksin itu, kita perlu meliputi kadar 90 peratus vaksinasi.

“Jika dilihat kepada vaksin MMR atau demam campak, beguk dan rubela, kadar vaksin pada tahun lalu kurang daripada 95 peratus.

“Namun kebelakangan ini selepas menerusi usaha pendidikan dan juga penerangan terhadap ibu bapa khususnya kepada yang kurang selesa dengan vaksinasi ini, kadar itu meningkat kepada melebihi 95 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Festival Placemaking 2019 di Pusat Konvensyen Gunung Rapat di sini, hari ini.

Hari ini dalam satu laporan akhbar berbahasa Inggeris tempatan, Akademi Perubatan Malaysia telah mengusulkan kepada Kementerian Kesihatan agar mewajibkan suntikan vaksin kepada bayi dan kanak-kanak di negara ini.

Dilaporkan cadangan itu dibuat ekoran kejadian kes virus polio yang membabitkan seorang bayi lelaki di Tuaran, Sabah pada 8 Disember lalu.

Ia merupakan kes pertama setelah selama 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit tersebut.

Dalam pada itu, Boon Chye berkata setakat ini tiada penawar bagi penyakit tersebut melainkan ia dapat dikawal di peringkat awal menerusi suntikan vaksin.

“Setakat ini tidak ada ubat yang dapat menyembuh penyakit polio dan apabila ada pesakit yang dijangkiti virus itu, kita hanya akan memberikan rawatan sokongan dan fisioterapi.

“Sebab itu usaha mencegah lebih barik daripada mengubati dan ianya paling efektif menerusi suntikan vaksin.

“Disebabkan itu juga, dalam usaha membendung penyakit ini dan penyakit-penyakit lain kerajaan telah melaksanakan Program Imunisasi Kebangsaan untuk diberikan suntikan vaksin kepada kanak-kanak,” jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");