Panasnya Hari Ini
Like

Tiada Usul Undi Tidak Percaya Terhadap Anwar

December 2, 2019
193 Views
0 Comments
1 minute read
Tiada Usul Undi Tidak Percaya Terhadap Anwar

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Usul dan Pembahasan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2019 menegaskan tiada sebarang usul undi tidak percaya terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan dikemukakan ketika Kongres Nasional Tahunan AMK hujung minggu ini.

Pengerusinya, Chua Wei Kiat berkata, semakan juga mendapati usul berkenaan tidak dibangkitkan oleh mana-mana AMK peringkat cabang seperti yang didakwa oleh Naib Ketua AMK Lembah Pantai, Nazrin Idham Razali.

“Setiap usul yang ingin dibahaskan pada Kongres Nasional Tahunan AMK perlulah diusulkan melalui Mesyuarat Agung Tahunan AMK Cabang yang telah berlangsung bermula Ogos sehingga Oktober tahun ini.

“Sebaliknya, kami menerima banyak usul daripada AMK cabang yang menyuarakan sokongan terhadap kepimpinan Anwar,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Wei Kiat menambah, kenyataan dibuat Nazrin itu hanyalah sekadar gimik untuk meraih perhatian awam.

Semalam, Nazrin dilaporkan mahu usul undi tidak percaya terhadap Anwar dibuat pada Kongres Nasional Tahunan AMK selepas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menolak keputusan parti memecat beberapa anggota baru-baru ini.

Nazrin berkata, tindakan mencantas kepimpinan yang menyokong Azmin membawa kepada perpecahan teruk dalam PKR.

Kongres Nasional PKR 2019 dijadualkan berlangsung di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) mulai 6 hingga 8 Disember ini memetik Sinar Harian.

Komen & Pendapat

Comments are closed.