Berita Hari Ini

Umat Islam Perlu Bersatu – Agong

GEORGETOWN – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru agar umat Islam di negara ini terus bersatu bagi mengelakkan daripada keciciran.

Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda terkesan dengan kebimbangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung perpaduan umat Islam di seluruh dunia seperti yang dinyatakan pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 baru-baru ini.

Titah baginda, perpecahan umat Islam khususnya di Timur Tengah menjadi satu gambaran betapa pentingnya untuk kita bersatu.

“Kita tiada pilihan lain selain bersatu.Apabila kita berpecah, kita tiada hala tuju.

“Ini yang menjadi kebimbangan Perdana Menteri dan saya secara tidak langsung terasa dengan apa yang dinyatakan yang mana jika perpecahan ini berterusan akan menyebabkan Islam keciciran,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan titah ucapan diraja pada Majlis Perasmian Masjid Al Bukhary di Bandar Seri Pinang di sini hari ini, lapor Sinar Harian.

Baginda bertitah, sepanjang 11 bulan memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda mengambil pendekatan untuk mengenalpasti peranan sebenar sebagai Ketua Agama Islam khususnya di Pulau Pinang, Melaka, Sabah, dan Sarawak.

“Setiap tiga bulan kita menganjurkan majlis muasasah di mana kita menjemput semua Majlis Agama Islam bersidang di Istana Negara untuk mereka beri pendapat dan sehaluan,” titah baginda.

Terdahulu, Seri Paduka tiba di Masjid Al Bukhary kira-kira jam 12.40 tengah hari diiringi Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, bersama Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Zakiyuddin Abdul Rahman.

Turut hadir, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd.

Baginda juga berkenan menunaikan solat Jumaat bersama lebih 2,000 jemaah di sini.

Selepas menunaikan solat Jumaat, Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan derma kurnia RM5,000 kepada Masjid Al Bukhary selain sumbangan peribadi kepada semua jemaah kanak-kanak.

Baginda turut berkenan menghadiri Majlis Santapan Tengah Hari bersama rakyat yang diadakan di pekarangan masjid berkenaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");