Membawang Hari Ini

Zizan Dijangkiti Influenza A

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak, Zizan Razak dimasukkan ke sebuah hospital swasta di ibu negara sejak dua hari lalu kerana jangkitan virus Influenza A.

Perkara itu dimaklumkan pelawak berkenaan menerusi kemas kini terbaru di akaun Instagramnya.

Zizan ketika dihubungi BH Online menerusi aplikasi WhatsApp berkata, pada mulanya, dia mengalami gatal tekak dan selesema yang disangkanya tidak serius.

Justeru, dia hanya mengambil gula-gula untuk melegakan tekaknya. Namun, apabila masalah gatal tekak masih berpanjangan, dia ke klinik dan diberikan suntikan untuk melegakan ketidakselesaan itu.

Bagaimanapun, simptom penyakitnya itu bertambah teruk apabila dia demam.

“Saya mengalami simptom itu ketika di set penggambaran Polis Evo 3. Pada mulanya, saya sangkakan ia hanya gatal tekak biasa dan tidak sangka menjadi semakin serius.

“Selepas mendapat suntikan di klinik, keadaan saya menjadi semakin teruk. Jadi, saya sekali lagi ke klinik untuk mendapatkan rawatan dan ketika itu, suhu badan sudah mencecah 40 darjah Celsius.

“Saya segera meminta doktor merujuk ke hospital. Mereka mendapati platlet darah saya turun dan mengesahkan saya mengalami jangkitan virus.

“Ujian Influenza pula menunjukkan keputusan positif,” katanya yang menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan virus yang semakin mudah menular.

Zizan turut berharap, semua pihak tidak mengambil mudah sekiranya tubuh badan kurang selesa dan menunjukkan simptom tertentu.

“Tolong berhati-hati apabila keluar di tempat awam. Kalau boleh pakai topeng atau ambil vaksin sebagai langkah pencegahan awal.

“Ini bukan demam biasa. Sebelum ini, Neelofa dan Ismail Izzani pernah diserang virus yang sama dan terbaru, Mawar Rashid serta anaknya turut mendapat jangkitan virus ini. Jadi, tolong jangan ambil mudah,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");