Perak Hari Ini

1,000 Penduduk Bimbang Aktiviti Pembersihan Di Kledang Saiong Bakal Beri Kesan Buruk

IPOH: Lebih 1,000 penduduk Taman Chepor Sentosa dekat sini menzahirkan kebimbangan mereka terhadap aktiviti pembersihan tanah di lereng bukit Kledang Saiong.

Aktiviti tersebut dijalankan di atas tanah seluas 151.49 hektar daripada 500.2 hektar tanah Hutan Simpan Kledang Saiong yang telah dinyahwartakan pada 2010.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk, Shamsul Kamar Ani berkata mereka bimbang kerana kesan daripada aktiviti tersebut bakal mengakibatkan banjir lumpur yang seterusnya akan menjejaskan lebih 200 rumah di situ.

Jelasnya beberapa tahun lalu kawasan perumahan di situ pernah mengalami bencana banjir lumpur akibat daripada aktiviti penanaman jagung yang berhampiran.

“Aktiviti yang berskala kecil itu pun telah menyebabkan kerosakan kepada beberapa rumah di sini dan kini, bagaimana pula dengan aktiviti berskala besar ini. Ia mungkin lebih teruk lagi,” katanya dalam satu sidang media di Taman Chepor Sentosa, di sini, hari ini.

Difahamkan jarak antara kawasan pembalakan dengan kawasan kediaman penduduk adalah sekitar 50 meter.

Ia diakui salah seorang wakil penduduk lain, Datuk Ahmad Mohd yang mana katanya kesan banjir lumpur itu disebabkan keberadaan anak sungai yang ada di bukit tersebut.

“Kita bimbang aktiviti pembersihan tanah itu akan memberi kesan kepada keselamatan penduduk di sini.

“Di kawasan bukit itu terdapat anak sungai. Jika aktiviti ini diteruskan, bukan sahaja keruh berkemungkinan air di situ akan tersumbat. Jika cuaca hujan sudah tentu air akan melimpah dan seterusnya merosakkan semua rumah di sini,” katanya.

Tambahnya lagi beliau kesal kerana aktiviti tersebut juga dilihat seolah-olah tidak mempedulikan pengisytiharan Lembah Kinta sebagai tapak geologi Geopark Kebangsaan oleh Sultan Perak pada Oktober 2018.

Menurutnya, satu laporan polis telah dibuat bagi tindakan pihak berkuasa untuk menghentikan semua aktiviti pembersihan hutan di lereng bukit Kledang Saiong.

Pada Disember lalu, sebuah agensi kerajaan negeri dalam satu kenyataan berkata kerja-kerja pembersihan tanah di Hutan Simpan Kledang Saiong adalah bagi tujuan projek pembangunan tanah dusun.

Sementara itu, Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman, mempersoalkan kenyataan agensi kerajaan negeri itu yang menyebut projek tersebut telah mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak berdasarkan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) pada 2009.

“Dimaklumkan mereka memperolehi kelulusan EIA pada 2009, namun jika ikut pada syarat yang ditetapkan oleh JAS, tempoh EIA hanya dalam tempoh dua tahun.

“Sekiranya dalam tempoh itu tidak dilakukan sebarang kerja-kerja seperti itu, ia secara automatik terbatal.

“Disebutkan EIA diterima pada 2009. Sekarang sudah tahun 2020. Maknanya hampir 10 tahun, baru projek itu dijalankan. Mereka sepatutnya memohon kelulusan EIA yang baharu,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menggesa agar Kerajaan Negeri dapat menghentikan segera sebarang aktiviti pembersihan hutan tersebut selain meminta agar tanah-tanah yang terlibat dapat diwartakan semula sebagai hutan simpan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");