Perak Hari Ini
Like

137 Unit Rumah Perakku Kos Rendah Terjual Dalam Masa 2 Jam

January 13, 2020
439 Views
0 Comments
3 minutes read
137 Unit Rumah Perakku Kos Rendah Terjual Dalam Masa 2 Jam

IPOH- Sebanyak 137 unit rumah Perakku Fasa Pertama yang dijual dengah harga bermula RM70,000 telah terjual sepenuhnya dalam masa dua jam.

Projek perumahan Rumah Perakku tersebut melalui syarikat Naluri Majujaya Sdn Bhd iaitu usahasama di antara Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.) dan MK Land Holdings Berhad di Gopeng mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pembeli.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata perkara tersebut selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk melipat gandakan usaha bagi memenuhi impian golongan B40 untuk memiliki rumah sendiri.

“Rata-rata pembeli juga menyatakan rasa penghargaan yang amat tinggi kepada pihak pemaju dan kerajaan negeri yang memulakan usaha ini dan saya berharap pemaju lain dapat bersama-sama dengan kerajaan bagi meneruskan usaha untuk membina lebih banyak rumah mesra milik atau Perakku ini di seluruh negeri Perak.

“Melalui kerjasama ini, kerajaan negeri juga mampu menunaikan janji kepada rakyat untuk menyediakan kediaman mesra milik kepada rakyat Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Jualan Rumah Perakku Fasa 1 dan Majlis Pecah Tanah Bit Polis di Raia Perdana di sini, hari ini.

Turut hadir ke majlis berkenaan, Penasihat MK Land Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar; Pengerusi Eksekutif MK Land, Felina Tan Sri Datuk (Dr.) Mustapha Kamal; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc., Anuar Zainal Abidin dan Pengurus Besar Kanan Kumpulan MK Land, Norida Abu Kassim.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada agensi di bawah kerajaan negeri seperti MB Inc., yang telah memberikan komitmen penuh dalam usaha kerajaan negeri merealisasikan sasaran untuk membina sebanyak 50,000 unit rumah mesra milik dalam tempoh lima tahun di seluruh negeri Perak.

“Perkara ini amat bertepatan dengan peranan GLC negeri untuk bergerak seiring dengan kerajaan negeri dalam memberikan keadilan sosial kepada rakyat dan bukannya terlalu menumpukan kepada keuntungan perniagaan semata-mata,” katanya.

Sementara itu katanya, pihak MK Land turut mengusahakan satu usaha yang julung kali dibuat iaitu dengan membangunankan kompleks sekolah untuk kawasan tersebut di samping mambangunkan bit polis.

“Pihak pemaju bercadang untuk mengeluarkan perbelanjaan sendiri dengan dana sendiri serta membantu kerajaan membina sebuah kompleks sekolah yang terpulang kepada KPM untuk menentukan sama ada sekolah rendah atau menengah untuk dibina sekali dengan pembangunan projek.

“Saya berharap agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan dapat segera memberi persetujuan agar pihak pemaju dapat memulakan pembinaan kompleks sekolah.

“Dalam masa yang sama saya juga bangga dengan usaha pihak MK Land dengan di mana mereka membina bit polis untuk kegunaan pihak PDRM bagi keselamatan para penduduk.,” katanya.

Komen & Pendapat

Comments are closed.