Berita Hari Ini

29 Maut, Ribuan Cedera Gempa Bumi Kuat Di Turki

ANKARA: Angka kematian gempa bumi kuat yang melanda Timur Turki meningkat mendadak kepada 29 orang pada Sabtu malam waktu tempatan, susulan kejadian yang berlaku di wilayah Elazig kira-kira 24 jam sebelum itu.

Sementara itu, 1,243 lagi dilaporkan cedera dengan 34 daripadanya ditempatkan di unit rawatan rapi, tetapi tidak dalam keadaan kritikal, menurut Menteri Kesihatan Fahrettin Koca. 

Kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa yang dikhuatiri terperangkap di bawah runtuhan bangunan sedang giat dijalankan, menurut satu kenyataan rasmi.

Pada masa sama, Presiden Recep Tayyip Erdogan memberi amaran kepada rakyat yang mendakwa negara berkenaan dalam keadaan tidak bersedia berdepan dengan bencana alam itu.

“Jangan dengar khabar angin. Jangan dengar kata-kata negatif atau propaganda,” katanya pada Sabtu.

Dalam pada itu, pelbagai aktiviti pemantauan gempa bumi yang dilakukan merekodkan bacaan bermagnitud antara 6.5 sehingga 6.8 pada skala Richter yang berlaku pada Jumaat.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) kerajaan Turki, gempa bumi pertama berlaku berhampiran wilayah Elazig.

Ia kemudian diikuti dengan 398 gempa susulan dan yang paling kuat adalah dengan bacaan bermagnitud 5.4 dan 5.1 pada skala Richter.

Pihak bantuan kecemasan dan keselamatan dikerah mengedarkan khemah, katil dan selimut selepas bacaan cuaca semakin sejuk pada waktu malam.

Masjid, sekolah dan dewan riadah serta asrama pelajar pula dibuka untuk penduduk yang terpaksa meninggalkan kediaman mereka.

“Gempa bumi itu sangat teruk. Kami terpaksa lari meninggalkan rumah. Kami tidak mempunyai mana-mana tempat berlindung yang selamat,” kata Emre Gocer kepada agensi berita Anadolu.

Sementara itu, Erdogan dalam lawatan ke Elazig berjanji bantuan akan terus disalurkan kepada mangsa-mangsa terlibat.

Sebelum ini, Turki pernah dilanda dua gempa bumi kuat di utara pada tahun 1999 yang mengorbankan sekitar 18,000 orang.

Seterusnya pada 2010, gempa bumi berukuran 6.0 pada skala Richter juga melanda Elazig dengan angka kematian 51 orang.- Agensi

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");