Berita Hari Ini

4 Beradik Ungguli Tilawah Dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR: Empat beradik berusia 25 hingga 16 tahun masing-masing meraih kemenangan bagi kategori 1 hingga 20 juzuk dan 1 hingga 30 juzuk pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1441H/2020M.

Norhafizah Mohd Shafie, anak ketujuh daripada 13 beradik dinobatkan sebagai johan kategori hafizah sementara adiknya Ahmad Syahid Mohd Shafie mendapat tempat ketiga kategori hafiz, masing-masing bagi kategori 1 hingga 30 juzuk.

Sementara itu dua lagi adiknya, Muhammad Hafiz Mohd Shafie dan Radhiah Mohd Shafie, mendapat tempat ketiga bagi kategori 1 hingga 20 juzuk.

Norhafizah berkata, beliau tidak menduga kesemua adik beradiknya memenangi pertandingan itu memandangkan tujuan utama mereka sekadar menguji tahap hafazan masing-masing.

“Ini kali pertama kami empat beradik memasuki pertandingan bersama-sama dan ia sebenarnya medium untuk mengetahui kualiti hafazan, bukan bermatlamat untuk menang.

“Menjadi rutin keluarga besar kami untuk saling menyemak bacaan masing-masing di rumah. Mungkin itu kunci kejayaan hari ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutupan serta Penyampaian Hadiah Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1441H/2020M, di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Norhafizah menerima hadiah wang tunai RM5,000 dan pakej umrah manakala Ahmad Syahid meraih RM1,500 sementara Muhammad Hafiz serta Radhiah masing-masing memperoleh RM1,000 setiap seorang bersama piala iringan dan sijil.

Bagi kategori tilawah al-Quran, qari yang juga imam rawatib di Masjid Muadz Bin Jabal, Muadzeen Ackil, 55, dinobat sebagai johan manakala guru Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Lailasari Sabran, 56, diumumkan johan qariah.

Mereka masing-masing membawa pulang wang tunai RM5,000, pakej umrah, piala iringan serta sijil.

Sementara itu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh, berkata penganjuran majlis tilawah dan menghafaz al-Quran adalah kesinambungan daripada usaha kerajaan memartabatkan al-Quran di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Majlis tilawah al-Quran yang diadakan di peringkat kebangsaan sudah menjangkau usia 60 tahun, ramai qari dan qariah yang dilahirkan begitu juga dengan hafiz dan hafizah melalui majlis menghafaz al-Quran.

“Justeru, besar harapan saya supaya permata yang bergemerlapan di Wilayah Persekutuan ini terpilih di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail.

Program anjuran JAWI itu berlangsung tiga hari berturut-turut sejak Selasa lalu dengan penyertaan 14 qari dan qariah, manakala 32 peserta bertanding dalam kategori hafazan al-Quran lapor BHarian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");