Berita Hari Ini

Air mata Azmin mengalir di majlis kesyukuran

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali dilihat mengesat air mata di majlis kesyukuran yang diadakan di Masjid Jamek Al-Amaniah, Gombak malam ini.

Kejadian itu berlaku selepas jemaah selesai solat Maghrib.

Azmin dilihat mengesat air mata ketika Imam Besar Masjid Negeri Selangor, Muhammad Farhan Wijaya berucap dan menggambarkan timbalan presiden PKR itu sebagai mangsa fitnah.

Majlis selepas itu diteruskan dengan bacaan Yaasin dan doa kesyukuran, sebelum disusuli dengan solat Isyak.

Majlis kesyukuran itu menarik kehadiran ratusan jemaah.

Terdahulu, Azmin yang lengkap berjubah putih dan berkopiah tiba kira-kira jam 7.16 malam, beberapa minit sebelum azan Maghrib berkumandang, ketika beberapa jemaah mendirikan solat sunat.

Ketibaan timbalan presiden PKR itu bersama isteri, Shamsidar Taharin menyebabkan jemaah mengerumuni laluan tangga di masjid.

Azmin dilihat menyapa mesra dan bersalaman dengan hadirin serta pelajar tahfiz. Setakat pukul 8 malam tadi, kira-kira 300 jemaah hadir.

Antara ahli politik yang kelihatan setakat berita ini ditulis adalah Timbalan Ketua Pemuda PKR (AMK) Muhammad Hilman Idham dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shaari.

Azmin difahamkan membuat majlis itu bagi menyuarakan kesyukurannya susulan keputusan Pejabat Peguam Negara berkenaan kes video intim kontroversi yang dikaitkan dengannya.

Peguam Negara Tommy Thomas pada Khamis lalu berkata tiada pertuduhan yang akan dibuat dalam kes video intim yang didakwa melibatkan Azmin dan bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Thomas berkata keputusan itu dibuat selepas pakar forensik tidak dapat mengenal pasti individu dalam klip video berkenaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");