Sukan Hari Ini

Amaran Buat Pemain BAM

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuat keputusan tepat apabila menggugurkan tujuh pemain daripada skuad kebangsaan, semalam selepas dikatakan gagal menampilkan prestasi ditetapkan.

Pandangan itu disuarakan bekas Pengarah Prestasi Tinggi BAM, Datuk James Selvaraj yang menganggap ia sebagai amaran kepada pemain lain untuk mengekalkan prestasi mereka pada tahap terbaik.

“Tindakan seperti ini adalah salah satu cara bagi memastikan pemain yang masih kekal untuk tidak berasa terlalu selesa. Tiada jaminan untuk mereka kekal sekiranya gagal menghasilkan keputusan yang baik.

“Mereka semua adalah pemain sepenuh masa dan  mereka perlu sentiasa tunjuk prestasi terbaik. Jika tidak, mereka perlu digugurkan.

“Bagi pemain yang digugurkan, ini bukanlah pengakhiran buat mereka. Jika mereka boleh tunjuk prestasi yang baik sekiranya bergerak secara profesional, mereka boleh kembali dalam skuad kebangsaan.

“BAM pun sudah beritahu yang pintu untuk mereka kembali dalam skuad kebangsaan masih terbuka,” kata James kepada BH Sukan.

BH Sukan semalam melaporkan BAM menggugurkan tujuh pemain daripada skuad kebangsaan sebagai sebahagian daripada proses penstrukturan semula bagi Projek 24.

Tujuh pemain itu membabitkan tiga perseorangan lelaki, Soong Joo Ven, Tan Jia Wei dan Muhammad Ziyad Md Tah selain beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan beregu wanita, Lim Pei Yee-Lim Chiew Sien.

James, berkata tindakan sama perlu dilakukan ke atas barisan kejurulatihan yang gagal menepati Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan badan induk itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");