Berita Hari Ini

‘Anak Saya Meninggal Bukan Kerana Coronavirus’

KLANG: “Anak saya meninggal bukan kerana coronavirus. Itu tidak betul. Saya sekeluarga kesal dengan tindakan pihak yang menyebarkan maklumat tanpa usul periksa.

“Malah, video anak saya rebah (dalam kedai) tular di laman sosial dan dikongsi tanpa henti oleh orang ramai,” kata Norazlan Mokhri, 47.

Norazlan adalah bapa kepada Allahyarham Nur Izzah Izzati, 20, yang meninggal dunia ketika membeli aksesori telefon bimbit di tempat kerjanya di Seksyen 13, Shah Alam, 26 Januari lalu.

Katanya, dia dan keluarga terkilan apabila ada pihak yang mengatakan punca kematian Allahyarham disebabkan coronavirus.

“Pada hari kejadian, arwah (Nur Izzah) cuti kerana menghadiri majlis pertunangan di Taman Seri Kapar, Sungai Pinang.

“Kemudian, selepas selesai majlis, arwah ajak saya ke tempat kerjanya untuk membeli aksesori telefon bimbit. Itu kali terakhir saya bersama arwah sebelum dia pergi buat selamanya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Kata Norazlan, dia mengetahui Allahyarham pengsan selepas seorang rakan memaklumkannya sebelum bergegas mendapatkan Allahyarham.

“Kawan arwah memberitahu Nur Izzah pengsan dalam kedai. Saya masuk dan terus memeriksa nadinya. Waktu itu, saya lihat arwah tidak sedarkan diri.

“Saya angkat arwah masuk ke dalam kereta dan terus hospital yang kebetulan berhadapan dengan premis itu bersama rakannya. Tiba di hospital, doktor segera memberi bantuan perubatan, namun Allah lebih menyayanginya,” katanya.

Perbualan antara wartawan dan Norazlan terhenti seketika apabila dia tidak dapat menahan sebak mengenang kejadian yang menimpa anak bongsu daripada dua beradik itu.

“Anak yang paling rapat dengan saya, Allah panggil pulang buat selamanya. Sebagai ayah, saya reda.

“Jadi, kepada masyarakat yang tak tahu apa apa, hentikanlah sebar video yang mengatakan arwah meninggal kerana coronavirus dan jangan buat tuduhan macam-macam,” katanya yang juga peniaga nasi kukus.

Norazlan dan isteri, Latifah Adam, 43, berharap individu yang menyebar dan menyimpan video itu memadamkannya segera.

“Janganlah tuduh kematian anak saya disebabkan coronavirus. Kalau tak tahu, cakap tak tahu.

“Satu Malaysia tahu video itu. Dalam Facebook (FB), ramai yang ucapkan takziah pada kami sekeluarga. Kami berterima kasih dan dalam masa sama berharap video itu dipadam bagi menjaga aib arwah,” katanya.

Jenazah Allahyarham dimandi dan dikafankan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang sebelum dibawa ke Masjid Jamiul Hasaniah, Kampung Batu Tiga, Klang untuk disembahyangkan.

Nur Izzah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Belah, Klang, selepas zuhur.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");