Berita Hari Ini
Like

Azmin: Sekarang Bukan Masa Bincang Peralihan Kuasa PM

January 17, 2020
218 Views
0 Comments
3 minutes read
Azmin: Sekarang Bukan Masa Bincang Peralihan Kuasa PM

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali mengingatkan agar pihak yang menggesa peralihan kuasa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim mengutamakan kepentingan negara dan bukannya individu.

Meskipun tidak menyebutkan nama tertentu, Azmin dipercayai merujuk kepada cadangan beberapa ahli parlimen PKR agar peralihan kuasa dilakukan pada Mei tahun ini.

Azmin mempersoalkan alasan individu tertentu yang menggesa Mahathir berundur meskipun perdana menteri itu sudah menyatakan komitmen untuk menepati janji dan menyerahkan kuasa kepada Anwar.

“Saya telah berulang kali mengatakan bahawa kestabilan adalah penting bagi pelabur, jadi sila terus bekerja demi kepentingan rakyat atau negara dan bukannya melayani kepentingan individu,” katanya.

Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, berkata tidak perlu tergesa-gesa peralihan kuasa kerana ada perkara yang lebih penting untuk ditumpukan pada tahun ini.

Maka, katanya, Mahathir harus diberi sokongan penuh untuk terus memimpin negara.

Selain pilihan raya kecil (PRK) Kimanis yang akan diadakan esok di Sabah, beliau juga memetik sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Kuala Lumpur tahun ini sebagai contoh.

“Kita harus menetapkan keutamaan kita,” katanya kepada pemberita ketika berkempen untuk calon Warisan bagi PRK Kimanis, Karim Bujang, hari ini.

“Rakyat mahu melihat kerajaan sama ada di peringkat persekutuan atau negeri bekerja keras untuk membangunkan negara.

“Ini bukan masanya untuk membincangkan mengenai peralihan kuasa,” katanya, sambil menambah ramai yang berkongsi pandangannya.

Azmin berkata terpulang kepada Mahathir untuk memutuskan tarikh peralihan kuasa itu selepas membincangkannya dengan majlis presiden Pakatan Harapan.

Beliau menambah bahawa Warisan, yang merupakan sebahagian daripada kerajaan persekutuan, juga harus dibenarkan untuk terlibat dalam perbincangan itu.

Azmin berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung cadangan beberapa ahli parlimen PKR agar Mahathir menyerahkan kepimpinannya kepada Anwar pada bulan Mei.

Selasa lalu, Mahathir berkata beliau bersedia melepaskan jawatannya dengan segera sekiranya majlis presiden PH mahu beliau berbuat demikian.

Susulan itu, Ahli Parlimen DAP Charles Santiago dan Pengerusi DAP Kelantan Zaid Ibrahim menyeru majlis presiden PH untuk bertemu dan menetapkan tarikh peralihan kuasa.

Mereka berpendapat bahawa ketidakpastian yang berterusan terhadap isu peralihan tidak baik untuk negara.

Bagaimanapun Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata tidak ada keperluan untuk majlis presiden PH untuk membincangkan perkara itu kerana pengerusi PH itu sudah menyatakan akan meletak jawatan selepas sidang kemuncak Apec.

Semasa temu bual dengan Reuters bulan lalu, Mahathir berkata beliau akan memenuhi janjinya untuk menyerahkan kepimpinan sebelum sidang kemuncak Apec.

Komen & Pendapat

Comments are closed.