Berita Hari Ini
Like

Berita Palsu Koronavirus: Lima Kertas Siasatan Dibuka

January 29, 2020
373 Views
0 Comments
3 minutes read
Berita Palsu Koronavirus: Lima Kertas Siasatan Dibuka

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka lima kertas siasatan berhubung kes penyebaran berita tidak sahih berhubung penularan koronavirus baharu di media sosial.

Menurut Harian Metro, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Huzir Mohamed berkata, kes pertama membabitkan satu laporan polis yang ditularkan di Facebook Mr Kong Tuck Wah mengenai koronavirus baharu yang disiasat mengikut Seksyen 203 (A) Kanun Keseksaan kerana pendedahan maklumat serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kes kedua pula membabitkan beberapa kenyataan berkaitan virus itu dimuat naik dalam Facebook Ibu Yati yang boleh menggugat ketenteraman awam pada 26 Januari lalu. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Bagi kes ketiga pula berkaitan penularan kes kematian warga China akibat virus terbabit pada 27 Januari lalu melalui Facebook Roto Sardeen yang didapati boleh menggugat ketenteraman awam dengan kes disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Huzir berkata, kes keempat membabitkan penyebaran berita palsu berkaitan rawatan pesakit koronavirus baharu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, Terengganu pada 27 Januari lalu di Facebook Group Gabungan Anak Terengganu (Original) yang menyatakan bahawa beberapa individu disyaki pesakit virus itu sedang dirawat di hospital berkenaan.

“Kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kes kelima pula membabitkan penularan berita palsu berkaitan banduan di Penjara Sandakan, Sabah yang dikatakan mati disebabkan virus itu disebarkan dalam kumpulan sembang Whatsapp dengan 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengambil serius berhubung penyebaran khabar angin dan berita tidak sahih mengenai penularan koronavirus baharu oleh pihak tidak bertanggungjawab di laman sosial.

“Tidak dinafikan isu virus berkenaan yang sedang dihadapi ketika ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat. Pihak kerajaan juga sedang mengambil tindakan yang perlu bagi menangani isu ini sewajarnya.

“Justeru, PDRM menggesa orang ramai supaya menghentikan sebarang bentuk penyebaran berita, artikel dan kenyataan tidak sahih atau tidak tepat berkaitan isu ini,” katanya.

Katanya, tindakan mana-mana pihak yang mahu menjadi ‘jaguh’ di laman sosial dengan penyebaran kenyataan tidak sahih mengenai perkara ini akan mengakibatkan pihak berkenaan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“PDRM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang didapati sengaja mensensasikan isu berkaitan virus ini.

“Bagi mendapatkan perkembangan terkini berkaitan virus ini, orang awam dinasihatkan merujuk kepada laman web Kementerian Kesihatan atau kenyataan dikeluarkan kementerian berkenaan untuk memperolehi maklumat tepat serta sahih,” katanya.

Komen & Pendapat

Comments are closed.