Panasnya Hari Ini

Bersih 2.0 Gesa Bentang RUU Dana Politik Secepat Mungkin

PETALING JAYA: Bersih 2.0 mengulangi seruan menggesa kerajaan membentangkan rang undang-undang pendanaan politik secepat mungkin.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil 2.0 itu berkata Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) mesti dipinda dan satu undang-undang baru tentang pendanaan politik mesti digubal bagi mengawal 2 teras utama iaitu sumber dan perbelanjaan dana.

Kumpulan pemantau pilihan raya itu berkata langkah itu akan menyediakan lapangan persaingan politik yang rata dan mengurangkan pengaruh wang dalam politik.

Ia juga merujuk kepada keterangan Setiausaha Agung BN, Tengku Adnan Tengku Mansor di Mahkamah Tinggi yang mendedahkan bagaimana Umno mengutip sumbangan untuk kempen pilihan raya melalui sumbangan politik memetik FMT.

Ia berkata ini menunjukkan bagaimana jumlah wang yang sebegitu besar dikutip dan dibelanjakan untuk pilihan raya.

“Pada masa ini, AKPR hanya mengawal perbelanjaan kempen oleh calon pada masa kempen pilihan raya sahaja. Perbelanjaan oleh parti politik dan lain-lain, termasuklah untuk faedah calon sebahagian besarnya tidak dikawal.

“Sebagai tambahan, tidak ada peraturan untuk derma politik kepada parti politik dan calon.

“Pendanaan politik yang tidak dikawal bukan sahaja akan membuka ruang untuk rasuah dan pengaruh tidak wajar oleh pihak berkepentingan bahkan ianya akan merendahkan keyakinan umum terhadap integriti pilihan raya,” kata Bersih dalam kenyataan.

Katanya lagi, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, selaku penjaga wang rakyat, harus dihalang daripada memberi sumbangan kepada parti-parti politik atau terlibat dengan kegiatan politik.

Pembiayaan awam juga perlu diperkenalkan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap sumber persendirian, terutamanya golongan berkepentingan daripada orang kaya dan korporat.

Bersih mencadangkan had perbelanjaan kempen RM100,000 untuk calon Adun dan RM200,000 untuk calon ahli Parlimen ditingkatkan kepada “jumlah yang lebih realistik” iaitu RM500,000 dan RM1,000,000.

“Peraturan ini juga perlu meliputi perbelanjaan oleh parti politik dan pihak ketiga,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");