Membawang Hari Ini
Like

‘Dari Smule Ke Istana Budaya’

January 23, 2020
420 Views
0 Comments
2 minutes read
‘Dari Smule Ke Istana Budaya’

KUALA LUMPUR – Khai Bahar, penyanyi yang bakatnya dicungkil daripada aplikasi Smule, akan ke pentas Istana Budaya menerusi konsert solonya, ‘Khai Bahar: Dari Smule ke Pentas Dunia’ pada Mac ini.

Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, 25, digelar King of Smule oleh peminatnya di rantau Asia apabila sering menyanyikan lagu ‘cover’ dalam aplikasi itu pada 2016, berkata konsert sulungnya yang akan diadakan pada 27 dan 28 Mac itu itu akan mengetengahkan sesuatu yang berbeza.

“Konsert ini menunjukkan pendirian saya yang amat berbeza dan tidak dilihat oleh peminat saya iaitu saya juga menyanyi lagu dalam pelbagai bahasa yang dirahsiakan sehingga kini,” katanya pada sidang media di sini hari ini, lapor Bernama.

Anak kelahiran Kangar, Perlis itu berkata konsert dua hari itu adalah satu pengiktirafan atas penglibatannya dalam industri muzik tanah air.

Khai berkata beliau berharap konsert ini akan menjadi inspirasi kepada penyanyi dalam aplikasi Smule untuk menonjolkan bakat mereka di mata dunia.

Popular dengan lagu ‘Luluh’ dan ‘Ratuku’, Khai akan menyampaikan 20 buah lagu pada konsert di bawah penganjuran Ogy Ventures itu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Istana Budaya Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata konsert ini juga antara usaha mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020) kepada peminat Khai, yang bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Singapura, Indonesia, Thailand dan beberapa negara Asia yang lain.

“Kami amat ingin menarik peminat muda menyertai program-program VM2020 seperti konsert ini dan kami juga amat positif terhadap peminat antarabangsa Khai Bahar terutamanya dari Singapura, Indonesia, Brunei dan selatan Thailand akan berpeluang menyaksikan konsert ini,” katanya.

Tiket Konsert Khai Bahar: Dari Smule ke Pentas Dunia dijual bermula hari ini dan boleh didapati di www.airasiaredtix.com

Komen & Pendapat

Comments are closed.