Perak Hari Ini

Dasar Kebersihan Negara: KPKT Garis Beberapa Perancangan Di Perak

IPOH: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menggariskan beberapa perancangan di Perak bagi menjayakan Dasar Kebersihan Negara di bawah perkara pengurusan sisa pepejal

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata KPKT akan membina sebuah loji sisa dan Loji Sisa Ke Tenaga (WTE) serta lima Stesen Pemindahan Sisa Pepejal di negeri ini.

Katanya ia sebagai salah satu usaha kementerian untuk menyeragamkan lagi pengurusan sisa pepejal khususnya di Perak.

“Perkara ini masih dalam perbincangan. Usaha ini supaya pengurusan sisa pepejal di Perak akan lebih sistematik dan efisien untuk dilaksanakan.

“Selain itu, dengan usaha ini juga ia dilihat mampu melonjakkan lagi industri pelancongan di Perak yang mana negeri ini mempunyai potensi yang besar dalam industri tersebut,” katanya.

Tambah Zuraida perkara tersebut akan dibincangkan dengan lebih mendalam bersama-sama kerajaan negeri termasuk berkenaan dengan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang sehingga kini masih belum ditandatangani oleh Perak.

Jelasnya, selain negeri ini, negeri lain yang masih belum dikuatkuasakan Akta 672 itu ialah , Pulau Pinang, Terengganu dan Kelantan.

“Kita akan mengadakan perbincangan lanjut untuk kerajaan negeri memeterai Akta 672 selain mendapatkan model terbaik Akta 672 bagi negeri ini.

“Walau bagaimanapun, sekiranya ia tidak ditandatangani pun kita akan tetap akan melaksanakan pengurusan sisa pepejal tersebut secara menyeluruh di Perak,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata perkara tersebut masih di peringkat awal dan kerajaan negeri bersedia mengadakan rundingan lanjut bersama KPKT berhubung perkara sama.

“Kita akan mendengar penerangan lanjut daripada kementerian berkenaan Akta 672 dan kita akan memperhalusinya lagi.

“Namun kerajaan negeri akan bekerjasama dengan kementerian dan kita amat menyambut baik Dasar Kebersihan Negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat daripada Zuraida ke Pejabat Menteri Besar di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Mengulas tentang lawatan dua hari delegasi KPKT ke Perak, Ahmad Faizal mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada kementerian atas peruntukan sebanyak RM11.7 juta kepada lima pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Dalam perkembangan sama, menurut Zuraida beliau akan menghadap Sultan Perak bagi mengusulkan kepada Baginda tentang cadangan perubahan nama Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) kepada Majlis Perbandaran Kuala Kangsar Bandar Diraja.

Katanya ia sebagai langkah transisi bagi MPKK ke arah mendapat status penuh sebagai Bandaraya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");