Panasnya Hari Ini

Dr M, Mukhriz Menang Tanpa Bertanding Ketua Bahagian Bersatu

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengekal jawatannya sebagai Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Langkawi selepas diumumkan menang tanpa bertanding jawatan itu.

Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Kedah A Aziz Mahamod berkata sesi pencalonan untuk pemilihan parti, hari ini menyaksikan tiada individu lain yang mengemukakan borang untuk mencabar Dr Mahathir yang juga pengerusi Bersatu.

A Aziz juga mengumumkan Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Bahagian Bersatu Jerlun apabila turut tidak dicabar.

“Kita ada 15 bahagian di Kedah dan daripada jumlah itu lima bahagian tidak dicabar (untuk jawatan ketua bahagian) iaitu Langkawi, Jerlun, Alor Setar, Pendang dan Kulim manakala bahagian lain wujud saingan yang membabitkan pertembungan dua hingga lima calon.

“Enam bahagian mencatatkan saingan satu lawan satu dan paling menarik ialah di Kubang Pasu menyaksikan Timbalan Menteri Kewangan Amiruddin Hamzah dicabar oleh bekas Setiausaha Bersatu Kubang Pasu, Mohd Nasir Jamaludin bagi jawatan Ketua Bahagian Kubang Pasu,” katanya pada sidang media di Alor Setar, hari ini.

Katanya, pemilihan bagi jawatan Ketua Bahagian Bersatu Merbok pula mencatatkan jumlah calon teramai apabila penyandangnya, Mejar (B) Anuar Abdul Hamid bakal dicabar empat calon lain.

Sementara itu, A Aziz berkata pihaknya berpuas hati dengan proses penamaan calon hari ini yang berlangsung dalam keadaan tenang dan lancar bermula pukul 9 pagi hingga 2 petang tadi.

“Proses hari ini berjalan dalam keadaan aman dan tiada perkara yang tidak diingini berlaku dan saya harap kelancaran ini dapat diteruskan pada proses berkempen nanti yang dijangka memakan masa dua minggu,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");