Berita Hari Ini

Empat Kes Disyaki Koronavirus Didapati Negatif

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan telah menerima laporan empat kes disyaki dijangkiti 2019 novel koronavirus (2019-nCoV), masing-masing dua kes di Selangor dan Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata ujian makmal ke atas sampel keempat-empat individu tersebut didapati negatif bagi jangkitan 2019-nCoV.

Terdahulu, Bernama melaporkan ujian makmal ke atas sampel tiga daripada empat individu berkenaan didapati negatif bagi jangkitan wabak berkenaan.

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan terbaru, Dr Noor Hisham mengesahkan satu lagi kes di Sabah bebas daripada jangkitan koronavirus.

“Dimaklumkan bahawa keputusan ujian pengesanan dan pengesahan virus 2019-nCoV yang dijalankan ke atas kes disyaki tersebut oleh pihak IMR (Institut Penyelidikan Perubatan), mengesahkan beliau negatif bagi jangkitan Novel koronavirus.

“Gejala yang dialami oleh beliau adalah disebabkan oleh jangkitan influenza A. Beliau kini telah beransur pulih dan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Dilaporkan China mengenakan perintah kuarantin di Wuhan susulan penularan wabak koronavirus yang telah mengakibatkan 17 maut, manakala hampir 600 orang dijangkiti virus itu, setakat ini.

Menurut Dr Noor Hisham, Pertubuhan Kesihatan Sedunia WHO telah menggesa negara anggotanya untuk memantapkan tahap kesiapsiagaan di negara masing-masing bagi menghadapi potensi penularan 2019-nCoV.

Sehubungan itu, KKM telah bersiap siaga dengan mengeluarkan tatacara perubatan virus itu bagi tujuan rujukan selain bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memperkukuhkan aktiviti saringan di semua pintu masuk antarabangsa.

“Saringan pesakit di Klinik Kesihatan dan Jabatan Kecemasan hospital diperkukuhkan bagi memastikan kes yang disyaki dirujuk serta dikendalikan dengan memenuhi langkah pencegahan dan kawalan infeksi dan sebanyak 26 hospital KKM seluruh negara telah dikenal pasti bagi mengendalikan kes yang disyaki (dijangkiti virus tersebut),” kata Dr Noor Hisham.

Menurutnya, sampel pesakit akan menjalani ujian pengesanan, dinotifikasi dengan segera kepada pihak kesihatan, seterusnya dimaklumkan kepada pasukan kesihatan bagi tindakan di peringkat daerah serta memastikan simpanan stok ubat-ubatan mencukupi.

Beliau juga menyarankan orang ramai yang ingin ke Wuhan, China untuk menangguh perjalanan mereka berikutan wabak yang melanda negara itu ketika ini.

“Sekiranya tujuan lawatan mereka ke negara itu atas urusan penting yang tidak dapat dielakkan, mereka diingatkan untuk mengamalkan langkah pencegahan khususnya semasa berada di Wuhan dan selepas pulang ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata antara langkah pencegahan yang perlu diambil adalah sentiasa mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitizer).

“Semasa dalam tempoh lawatan, sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung (mask) serta bahan pencuci tangan (hand sanitizer) untuk digunakan apabila perlu dan elakkan daripada mengunjungi tempat tumpuan ramai dan bergaul rapat dengan mana-mana individu yang bergejala.

“Selain itu, elakkan melawat ladang haiwan, pasar yang menjual haiwan hidup, tempat sembelihan haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan dan elakkan memakan sebarang produk haiwan yang mentah atau tidak dimasak dengan sempurna,” katanya.

Dr Noor Hisham juga mengingatkan untuk segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun kesukaran untuk bernafas dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari lawatan dan maklumkan mengenai sejarah perjalanan berkenaan kepada doktor yang merawat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");