Perak Hari Ini

GMP Pula Kemukakan Tuntutan Saman Terhadap Kerajaan Negeri

IPOH- Gagasan Melayu Perak (GMP) pula telah memasukkan permohonan mencelah sebagai plantif berhubung pelaksanaan pemberian hak milik kekal tanah selama 999 tahun di negeri ini.

Timbalan Presidennya, Norali Nordin berkata tindakan tersebut diambil setelah pihaknya meneliti Saman Pemula yang telah dimasukkan oleh Presiden Majlis Belia Negeri (MBN) Perak, Aswannudin Hariffudin pada 15 Januari lalu.

Katanya, Aswannudin Hariffudin telah memulakan prosiding mahkamah bagi mendapatkan deklarasi bahawa Kerajaan Negeri tidak mempunyai alasan yang wajar bagi meluluskan pemberian hakmilik secara kekal dan seterusnya mahkamah membenarkan suatu injuksi sementara di ambil terhadap Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dari membincangkan kertas cadangan kelulusan tersebut.

“Setelah penelitian dibuat oleh Biro Undang-Undang GMP, kami berpendapat bahawa GMP mempunyai hak dari sudut perundangan untuk memasukkan permohonan mencelah sebagai plaintif dengan tujuan bersama mendapatkan deklarasi menghalang Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Perak dari meluluskan cadangan pemberian tanah secara hakmilik kekal kepada penghuni kampung baru.

“GMP ingin menegaskan bahawa kami dari tahun 2008 lagi berpendapat bahawa pemberian tanah secara pegangan hakmilik kekal (freehold) dan pegangan hakmilik selama-lamanya (in perpetuity) adalah amalan pentadbiran British semasa era penjajahan,” katanya kepada media oleh berhubung Saman Tanah Hak Milik Kekal 999 Tahun, hari ini.

Beliau mengulas demikian setelah menerima maklumat bahawa MMK telah memasukkan kertas cadangan bagi meluluskan pemberian tanah secara hakmilik kekal kepada penghuni kampung baru di sebalik bantahan dari NGO-NGO dan rakyat Perak pada dua minggu lalu.

Menurut beliau, GMP pernah memulakan prosiding mahkamah demi untuk mengisytiharkan keputusan Kerajaan Negeri Perak sekitar tahun 2008 di atas isu yang sama adalah bertentangan dengan peruntukan perundangan negara terutamanya Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Tanah Negara.

Katanya, perkara ini telah melanggar kedaulatan perundangan sehingga pihaknya bertindak mengambil keputusan untuk mencabar sebarang keputusan yang dibuat di MKK melalui mahkamah supaya dapat mempertahankan perlaksanaan dasar Majlis Tanah Negara (MTN) di dalam perkara ini.

“Sebagai sebuah agensi Persekutuan, segala dasar MTN hendaklah dipatuhi oleh Kerajaan-kerajaan Negeri bagi memastikan keseragaman undang-undang dicapai di dalam memberi keadilan yang saksama kepada rakyat.

“GMP berpendapat bahawa Kerajaan Negeri adalah tertakluk kepada dasar yang telah ditetapkan MTN biarpun di dalam menjalankan kuasa pemberimilikan Kerajaan Negeri seperti yang diperihalkan oleh Seksyen 76, Kanun Tanah Negara 1965.

“GMP mendesak Kerajaan Negeri supaya mempertahankan perlaksanaan dasar MTN di dalam perkara ini,” katanya.

Sementara itu kata Presiden Majlis Tindakan Rakyat, Irwan Fahmi Idris, pihaknya juga akan membawa perkara tersebut kepada Perdana Menteri pada minggu hadapan supaya ianya dapat ditimbal balik dan tidak lagi berlaku.

“Kita tegaskan bahawa perkara ini akan kita bawa kepada Perdana Menteri di mana ianya sebagai satu amaran.

“Kita menghormati kaum-kaum yang lain hasil dari kolaborasi ini malahan kita juga hidup dalam keadaan yang harmoni selama ini, tetapi mengapa perkara berkaitan politik serta rasis mulai timbul dan saya bercakap untuk mempertahankan perlembagaan sebuah negara.

“Saya minta Menteri Besar supaya mendengar suara majoriti di dalam negeri ini dan hormat orang-orang Melayu bukannya sekadar bercakap kerana kami tidak minta mereka untuk berpolitik atau berpolemik sebagainya,” katanya.

Menurut Irwan Fahmi, pihaknya juga akan mengemukakan Memorandum Rakyat Perak mengenai perkara berkenaan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammed pada Rabu akan datang.

Terdahulu, Pengerusinya, Nga Kor Ming mendesak agar PH Perak dapat menunaikan janji Pilihan Raya Umum ke-41 (PRU14) berkenaan pemberian hak milik kekal tanah kampung-kampung semasa Konvensyen DAP Perak tahun lalu.

Pada 13 Ogos 2018, Ahmad Faizal ketika dalam ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) menjelaskan kerajaan negeri tidak boleh memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada Kampung-kampung Baru kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menurut GMP juga, MTN telah menetapkan pada Mesyuarat yang ke-42 pada 8hb Januari, 1988 bahawa tempoh pajakan bagi tanah-tanah di kampungkampung baru dinaikkan dari 30 tahun kepada 60 tahun.

“Pada Mesyuarat MTN yang ke-53 bertarikh 25hb April, 1997 pula, MTN telah menetapkan bahawa tempoh pajakan tanah di kampung-kampung baru hendaklah sekurang-kurangnya 60 tahun tetapi tidak melebihi 99 tahun,” katanya lanjut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");