Membawang Hari Ini

‘Hantu Kak Limah’ Menganggur, Ditipu Peniaga Telekung

KUALA LUMPUR: Sudah lima bulan bintang veteran yang terkenal dengan watak Hantu Kak Limah, Delimawati Ismail tidak ditawarkan ‘job’ atau peluang berlakon.

Delimawati mendakwa, pada usia 62 tahun, beliau tidak lagi menjadi buruan penerbit dan pengarah, apatah lagi mereka cenderung menawarkan watak emak kepada pelakon muda yang disolek menjadi tua.

Terbaru, wanita kelahiran Kuala Kangsar, Perak ini muncul dalam Maharaja Lawak Mega (MLM) 2019 sebagai artis jemputan.

“Selepas lima bulan menganggur, produksi MLM mengundang saya sebagai artis jemputan, baru-baru ini.

“Iyalah… Sekarang stesen televisyen (TV) memberi watak emak kepada pelakon berusia 40-an. Saya yang dalam kelompok usia 60-an tidak dipandang lagi.

“Mereka hanya fikirkan saya untuk mengisi watak nenek atau menjadi hantu,” katanya kepada BH Online.

Delimawati berkata, dia memuji usaha Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac memastikan pelakon veteran diberi tawaran kerja termasuk syarat tidak menyolek pelakon muda untuk watak orang tua.

“Kalau ambil pelakon muda memegang watak emak, mereka perlu disolek. Kalau pelakon seusia saya, kami tidak payah dimekap untuk menjadi tua,” katanya.

Tambah Delimawati, sejak tidak ditawarkan berlakon, beliau hanya berehat di rumah. Luahnya, niat berniaga ada, namun kudratnya terbatas.

“Saya ini bukannya muda lagi. Kalau berniaga pun, tak larat hendak mengangkat barang.

“Apatah lagi saya mengalami masalah ‘slipped disc’. Angkat berat mesti sakit belakang. Kalau saya berlakon, tidak boleh hendak berdiri lama-lama, apatah lagi berniaga,” katanya yang berharap syarikat produksi dan stesen TV tidak mengabaikan pelakon veteran.

Sementara itu, Delimawati mendakwa menjadi mangsa penipuan usahawan atas talian yang menjual telekung berharga RM39.90, baru-baru ini.

“Pada 30 Disember lalu, saya membeli telekung berharga RM39.90 di Facebook. Malangnya, sehingga hari ini, saya tidak menerima sebarang maklum balas.

“Saya cuba menghubungi nombor telefon tertera dan menghantar mesej banyak kali, namun tidak berjawab melainkan rakaman suara mesin.

“Nasib baiklah harganya tidak mahal. Tetapi itu bukan soalnya, duit tetap duit. Saya pantang ditipu, apabila jadi begini, mestilah saya marah.

“Saya harap penjual itu bertanggungjawab atas perbuatannya. Ini kerana bukan saya sahaja ditipu, ramai lagi terkena,” katanya kesal.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");