Berita Hari Ini

Harap Dapat Keluar Dari China Secepat Mungkin

“SAYA berharap dapat keluar dari China secepat mungkin dan kini masih menanti perkembangan selanjutnya dari Kedutaan Malaysia di China,” kata rakyat Malaysia yang mahu dikenali sebagai Reen, 28.

Beliau kini berada di Xiangyang, China kerana bertemu keluarga suaminya di daerah itu sejak 21 Januari lalu sempena sambutan Tahun Baru Cina dan sepatutnya dijadualkan pulang ke tanah air 8 Februari ini.

Menceritakan perkembangan terkini di sana, Reen berkata, beliau sudah dihubungi kakitangan Kedutaan Malaysia untuk mengisi borang khas susulan penularan wabak koronavirus baharu di republik berkenaan.

Katanya, kakitangan kedutaan menghubunginya beberapa hari lalu kerana mahu mendapatkan maklumat lanjut untuk membolehkan dia dan suami dibawa pulang ke Malaysia.

“Kakitangan kedutaan memaklumkan masih ramai rakyat Malaysia yang sedang dikesan agar mereka dapat dibawa pulang secepat mungkin.

“Saya juga berharap perkara ini dapat diselesaikan segera dan kerajaan China memberi kebenaran untuk Malaysia membawa keluar rakyat kita dari negara ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, setakat ini, semua penduduk di Xiangyang juga tidak dibenarkan keluar dari rumah masing-masing selepas kerajaan republik itu mengeluarkan arahan pada 24 Januari lalu.

Menurutnya, beliau kini hanya menghabiskan masa di rumah keluarga suaminya yang juga rakyat tempatan kerana tiada sebarang aktiviti luar dapat dilakukan sekarang.

“Saya dan keluarga suami akan mengambil bacaan suhu badan antara tiga hingga empat kali sehari untuk memastikan kami tidak memiliki simptom koronavirus.

“Jika suhu badan mencecah 37 darjah celcius, kami perlu makan ubat demam kerana ia antara simptom yang paling mudah dikesan namun setakat ini semuanya masih sihat tapi masih dalam keadaan berjaga-jaga,” katanya.

Tambahnya, rakyat Malaysia yang akan dibawa pulang kelak akan dikuarantin di hospital untuk tempoh tertentu bagi membolehkan pemantauan lanjut dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar disahkan bebas dari wabak berkenaan memetik HMetro.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");