Berita Hari Ini, Panasnya Hari Ini

Henti Obsesi Proses Peralihan Kuasa Perdana Menteri – Kit Siang

KUALA LUMPUR: Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang hari ini meminta pemimpin dan anggota Pakatan Harapan (PH) menghentikan obsesi mengenai peralihan kuasa Perdana Menteri di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, Anwar sendiri telah pun menasihatkan pemimpin PH supaya tidak membincangkan isu berkenaan secara terang-terangan dan menghormati persetujuan mengenai perkara yang dicapai pada Januari 2018.

“Marilah kita beralih daripada memberi penekanan dan obsesi setiap hari dengan peralihan kuasa dan memfokuskan segala usaha kita untuk menunaikan janji-janji kita pada pilihan raya umum 2018. Tahun 2020 akan menjadi tahun penentuan untuk Pakatan Harapan,” katanya.

Kenyataan Kit Siang menyusul selepas Anwar meminta semua pihak dalam PH supaya tidak membicarakan soal peralihan kuasa Perdana Menteri secara terbuka dan menghormati konsensus yang disepakati pada Januari 2018.

Presiden PKR itu yang juga Ketua Umum PH, kekal dengan pendiriannya sebelum ini menyokong Dr Mahathir dalam mengemudi dan memperkukuhkan ekonomi negara.

Kenyataan terbaru Anwar dan Kit Siang itu dipercayai merujuk kepada perang mulut secara terbuka dalam kalangan penyokong Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan dan Dr Mahathir.

Kelmarin, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu kenyataan, mempersoalkan tindakan segelintir pemimpin dalam PH mempersoalkan kedudukan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Muar itu menyifatkan desakan supaya Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai tidak bertanggungjawab dan membelakangkan konsensus PH.

Bagaimanapun, kenyataannya dikecam Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy daripada DAP yang mahu Ketua Pemuda PH itu tidak mempersoalkan hak demokratik untuk meminta Dr Mahathir menghormati perjanjian menyerahkan kepemimpinan negara kepada Anwar.

Selain itu, Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang juga menyangkal dakwaan Syed Saddiq kononnya pihak yang mendesak Dr Mahathir supaya berundur sebagai mengingkari persetujuan bersama dalam PH.

Katanya, walaupun Syed Saddiq bertegas mengenai konsensus PH, menteri itu tidak memberi sebarang reaksi apabila sesetengah pihak mendesak Dr Mahahir supaya berkhidmat sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal.

Berdasarkan konsensus PH pada Januari 2018, Dr Mahathir akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar, namun tiada tarikh tertentu ditetapkan memetik BHarian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");