Perak Hari Ini

“Ia Hanya ‘Wayang Politik Monyet’ MCA” – Zhemin

IPOH: Setiausaha Publisiti DAP Perak, Chong Zhemin menyifatkan tindakan MCA Perak yang mahu membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung penyelewengan dana RM150 juta bagi projek pembinaan Hospital Kampar adalah sebagai ‘wayang politik monyet’ MCA.

Beliau merujuk kepada hansard Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon yang ketika itu sebagai Exco Kesihatan Kerajaan Perak semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada 2017.

Kata Zhemin, kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) ketika itu telah membatalkan projek pembinaan Hospital Kampar bagi tujuan pembinaan Hospital Swasta Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

“Kerajaan BN telah mengumumkan pembinaan Hospital Kampar dengan peruntukan RM150 Juta pada tahun 2012. UTAR hanya mengumumkan pembinaan hospital swasta pada tahun 2014.

“Adalah tidak munasabah kerajaan BN membatalkan projek Hospital Kampar hanya kerana mahu membina hospital swasta UTAR dan menggadaikan kebajikan perubatan rakyat di Kampar.

“Oleh kerana pembatalan hospital kerajaan oleh BN, MCA perlu jawab apa yang telah terjadi kepada peruntukan RM150 Juta yang telah diluluskan dan diumumkan bekas Menteri Kesihatan Liow Tiong Lai pada tahun 2012,” katanya dalam satu kenyataan menerusi WhatsApp, di sini, hari ini.

Pemberita kemudian cuba mendapatkan respons beliau berhubung jemputan MCA Perak yang mahu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Keranji itu turut hadir membuat laporan berhubung perkara itu kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) pada minggu ini.

Dalam jawapan ringkasnya Zhemin sekali lagi mengulangi kenyataan bahawa ia hanya sekadar ‘wayang politik monyet.’

“Ini semua ‘wayang politik monyet’. Biarkan MCA sendiri yang buat wayang,” katanya.

Pada sidang media pagi tadi, Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Perak, Low Guo Nan telah menjemput Zhemin untuk sama-sama menghadirkan diri ke Ibu Pejabat Kontinjen Perak pada Rabu dan Pejabat SPRM di Meru Raya pada Jumaat minggu ini.

Beliau dan beberapa wakil kemudiannya ke Pejabat Adun Keranji di Kampar bagi menyerahkan surat jemputan kepada Zhemin bagi tujuan yang sama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");