Berita Hari Ini

IGP: Tiada Apa Mencurigakan Keputusan AGC Tak Dakwa Anwar

Tiada apa yang mencurigakan atau tersembunyi dengan keputusan Pejabat Peguam Negara untuk tidak mendakwa Presiden PKR Anwar Ibrahim berhubung tuduhan salah laku seksual terhadap Muhammed Yusoff Rawther, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Hamid berkata, sukar untuk polis mendapatkan bukti fizikal dan sokongan berkenaan kes itu kerana insiden itu didakwa telah lama berlaku.

“Ia (didakwa) telah lama berlaku, satu atau dua tahun lalu. Ia sukar, kita perlukan buktikan fizikal.

“Apa bukti sokongan yang kita ada? Itu masalahnya,” katanya ketika sidang media di Pusat Latihan Polis di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata keputusan Pejabat Peguam Negara berdasarkan hasil sasatan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) polis.

“Tiada yang tersembunyi, mencurigakan tentangnya. Ia straightforward,” katanya lagi.

Semalam, AGC memaklumkan keputusannya untuk tidak mendakwa Anwar berhubung dakwaan yang dibuat Muhammed Yusoff kerana kekurangan bukti.

Peguam Cara Negara Engku Nor Faizah Engku Atek berkata terdapat percanggahan fakta yang material yang tidak dapat menyokong sebarang pendakwaan di bawah seksyen 354 Kanun Keseksaan, atau mana-mana seksyen kanun itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");