Perak Hari Ini

Insiden Papagomo Dikasari: Polis Akan Ambil Tindakan Tanpa Mengira Pihak Mana

IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyatakan pendirian untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang terlibat dalam insiden Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo dikepung sekumpulan lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), kelmarin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat dan proses siasatan melibatkan kedua-dua pihak sedang diteruskan.

“Saya tidak pasti sama ada melibatkan insiden pukul seperti yang didakwa atau tidak. Namun yakinlah, apa juga insiden yang berlaku seperti ini, kita akan ambil tindakan,” katanya.

Selain itu beliau turut menzahirkan kekesalannya terhadap insiden tersebut yang disifatkan seolah-olah mencemarkan imej negara. Perbuatan seperti itu tidak sihat, ditambah pula berlaku di dalam lapangan terbang.

“Sekiranya bukti dan proses siasatan sudah lengkap, kita akan mengambil tindakan undang-udang tidak kira kepada mana-mana pihak.

“Insiden itu nampak tidak baik. Ditambah pula ia ditularkan. Ia seolah-olah memperlihatkan negara ini tidak ada undang-undang.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Briged Utara Ulu Kinta, di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan sekitar jam 7.30 malam, pada 19 Januari lalu, Wan Muhammad Azri mendakwa telah dikasari sekumpulan lelaki ketika mendaftar masuk di salah satu kaunter di KKIA.

Beliau kemudian membuat laporan di Balai Polis Setapak, Kuala Lumpur, jam 2.30 pagi semalam.

Terkini, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji dilaporkan berkata seramai tiga individu telah dipanggil pihak polis bagi membantu siasatan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");