Berita Hari Ini

Iran Nafi Tembak Pesawat Ukraine

TEHRAN: Ketua penerbangan awam Iran menafikan tembakan peluru berpandu sebagai punca pesawat komersial milik Ukraine terhempas baru-baru ini, dan mengorbankan semua 176 penumpang serta kru kapal.

Agensi berita Iran, Fars melaporkan, punca nahas akan diumumkan hari ini, selepas mesyuarat jawatankuasa penyiasat yang turut membabitkan pihak asing dan tempatan.

Laporan itu dibuat selepas pakar Ukraine berkata, mereka mendapat akses ke atas perakam kotak hitam, serentak dengan kenyataan dibuat Setiausaha Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo bahawa pesawat terbabit berkemungkinan besar ditembak peluru berpandu Iran.

Teheran berdepan tekanan hebat antarabangsa untuk membenarkan siasatan telus dibuat ke atas nahas yang didakwa beberapa kerajaan Barat sebagai berpunca daripada tembakan peluru berpandu.

“Satu perkara yang pasti, pesawat ini bukan ditembak oleh peluru berpandu,” kata ketua penerbangan awam Iran, Ali Abedzadeh, selepas Tehran menjemput AS, Ukraine, Kanada dan beberapa negara lain menyertai pasukan penyiasat.

Pesawat Boeing 737 itu terhempas Rabu lalu, sejurus selepas Iran melancarkan tembakan peluru berpandu ke atas pasukan AS di Iraq, sebagai membalas pembunuhan jeneral kanan mereka, Qasem Soleimani dalam serangan dron di Baghdad.

Itu nahas udara terburuk Iran sejak 1988, apabila tentera AS mendakwa tersilap menembak jatuh pesawat Iran Air di Teluk, mengorbankan semua 290 penumpang dan kru kapal.

Majoriti penumpang penerbangan PS752 milik Ukraine International Airlines itu ialah pemegang dua kerakyatan, Iran-Kanada tetapi ia turut dinaiki rakyat Ukraine, Afghanistan, Britain dan Sweden. – AFP

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");