Berita Hari Ini

Iran Serang Pangkalan Tentera Iraq Yang Tempatkan Tentera AS

ANKARA – Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) pada Rabu berkata ia menyasarkan pangkalan udara Ain al-Asad di Iraq, satu kemudahan yang dikendali bersama oleh tentera Amerika Syarikat dan Iraq, dengan melancarkan “berpuluh-puluh peluru berpandu,”lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan IRGC.

“Dalam Operasi Syahid Soleimani pada awal pagi Rabu, berpuluh-puluh peluru berpandu darat ke darat ditembak ke arah pangkalan tentera AS dan berjaya mengenai sasarannnya iaitu Pangkalan Ain al-Asad,” menurut the IRGC, lapor Bernama.

IRGC berkata tembakan itu “hanyalah permulaan bagi beberapa siri serangan balas dendam tanpa tarikh akhir.”

“Kami memberi amaran kepada semua sekutu AS bahawa jika mereka melancarkan serangan ke atas Iran dari pangkalan tentera negara masing-masing, mereka akan menjadi sasaran tindakan balas ketenteraan,” katanya.

Gelombang kedua serangan berpandu terhadap tentera Amerika di Iraq telah bermula, lapor agensi berita Tasnim Iran.

Kor Pengawal Revolusi Islam Iran memberi amaran menerusi saluran Telegram mereka bahawa jika bumi Iran dibom, mereka akan melancarkan gelombang ketiga serangan bagi memusnahkan Dubai dan Haifa.

Sementara itu, sumber ketenteraan Iran mendakwa bahawa sekurang-kurangnya 30 tentera AS di Iraq cedera dalam serangan tersebut.

Tasnim turut melaporkan bahawa Hezbollah telah mengancam untuk menyerang Israel jika AS bertindak balas terhadap Iran manakala kumpulan Hashed al-Shaabi di Iraq, atau lebih dikenali sebagai Unit Mobilisasi Popular (PMU), berkata mereka telah melancarkan serangan balas mereka sendiri ke atas pangkalan-pangkalan tentera AS.

Agensi berita Fars Iran pula menyifatkan serangan peluru berpandu terbabit ke atas pangkalan udara Ain al-Asad adalah satu tindakan “membalas dendam yang keras” dalam satu hantaran di Twitter.

Pentagon mengesahkan bahawa serangan itu berlaku pada kira-kira pukul 5.30 petang Selasa yang menyaksikan Iran melancarkan lebih sedozen peluru berpandu balistik terhadap tentera AS dan tentera gabungan di Iraq.

“Adalah jelas bahawa kesemua peluru berpandu ini telah dilancarkan dari Iran dan menyasarkan sekurang-kurangnya dua pangkalan tentera Iraq yang menempatkan tentera AS dan tentera gabungan di Al-Asad dan Irbil,” menurut jurucakap Pentagon Jonathan Hoffman dalam satu kenyataan.

Pentagon kini menilai kerosakan awal akibat serangan itu.

Setakat ini tiada laporan mengenai kemalangan jiwa.

Tentera AS mengesahkan bahawa enam peluru berpandu telah meninggalkan kesan.

Setiausaha Akhbar Rumah Putih Stephanie Grisham berkata: “Kami menyedari laporan serangan ke atas kemudahan AS di Iraq. Presiden telah diberi taklimat dan sedang memantau situasi itu dengan teliti serta berunding dengan pasukan keselamatan negara.”

Qassem Soleimani, komander tertinggi tentera elit Iran, telah terbunuh dalam serangan dron oleh AS berhampiran lapangan terbang Baghdad pada awal pagi Jumaat.

Kematiannya menyaksikan peningkatan ketegangan secara mendadak antara AS dan Iran, yang sering berlaku sejak Presiden Donald Trump pada 2018 untuk menarik Washington keluar daripada pakatan nuklear 2015 yang dimeterai kuasa-kuasa besar dengan Tehran.

Pemimpin Agung Iran Ali Khamenei, yang telah menganugerahkan darjah kebesaran tertinggi negara kepada Soleimani tahun lepas, berikrar untuk membalas dendam atas kematiannya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");