Panasnya Hari Ini

Isu Tukaran Tanah: Mindef Serah Hasil Siasatan Kepada SPRM

PUTRAJAYA – Kementerian Pertahanan hari ini melaporkan dan menyerahkan hasil siasatan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus Kewangan dan Perolehan terhadap isu land swap (tukaran tanah) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Memetik laporan Sinar Harian, Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Pertahanan, Mohd Nasaie Ismail berkata, daripada 16 isu land swap, pihaknya telah menyerahkan dua hasil siasatan kepada agensi itu melibat projek pembinaan Kem Paloh, Johor dan Hutan Melintang di Perak.

Menurutnya, kedua-dua projek tersebut dijalankan pihak swasta hasil pertukaran tanah tapak Kem Kinrara, Selangor dan Kem Rasah di Negeri Sembilan.

“Terdapat campur tangan politik keterlaluan, kecuaian urus tadbir dan beberapa kesilapan dalam pelaksanaan kedua-dua projek ini yang telah menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan serta mengancam kepentingan strategik pertahanan negara.

“Isu ini berlaku ketika menteri yang bertugas adalah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Prosesnya makan masa yang panjang dan projek ini dimulakan pada 2017 dengan anggota tentera masuk pada 2018 sebelum PRU14.

“Tetapi bagi Kem Paloh oleh kerana terdapat beberapa syarat belum selesai maka tiada kemasukan tentera sebelum PRU lalu,” katanya dalam sidang media selepas membuat laporan dan menyerahkan hasil siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus Kewangan dan Perolehan kepada SPRM, hari ini.

Kelmarin, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mendedahkan kerajaan rugi lebih RM500 juta bagi urus niaga land swap membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997.

Jelasnya, perkara itu terdedah hasil siasatan yang dibentangkan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang pada 28 Januari lalu.

Beliau berkata, laporan siasatan berkenaan kemudian dibentangkan dan diterima dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Februari lalu.

Mengulas lanjut, Mohd Nasaie mendakwa, pembinaan Kem Paloh dan Kem Hutan Melintang tidak termasuk dalam perancangan Kementerian Pertahanan dalam Rancangan Malaysia (RMK-11)

“Namun arahan telah dikeluarkan untuk membina kedua-dua kem tersebut dipercayai dilakukan atas faktor politik. “Pada asalnya kementerian ketika itu merancang untuk membina kem 1 Briged di Port Dickson sebagai salah satu ganti kepada tapak Kem Kinrara secara land swap.

Namun, dibatalkan dan digantikan dengan pembinaan Kem Paloh dalam Parlimen Sembrong,” katanya.

Katanya lagi, bagi Kem Hutan Melintang di Palimen Bagan Datuk, terdapat arahan politik dan penglibatan secara langsung pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Terdapat usaha usaha memindahkan dan menambah pengundi tentera serta keluarga mereka di kedua-dua kem melibatkan dua Parlimen tersebut,” katanya.

Selain itu, beliau mendedahkan terdapat keraguan dalam penilaian tanah asal projek land swap di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Timbalannya, Ahmad Zahid yang menetapkan nilai tanah tapak Kem Kinrara berjumlah RM500 juta.

“Sedangkan penilaian yang dibuat oleh Jabatan Penilaian dan perkhidmatan Harta (JPPH) ialah RM758 juta.

“Penilaian JPPH dan penetapan harga oleh kerajaan berlaku di waktu sama iaitu pada Mei 2015. Oleh itu, tidak timbul perbezaan harga disebabkan perubahan masa menyebabkan nilainya lebih tinggi,” katanya.

Tambahnya, dalam isu pembelian tanah di Paloh bagi tujuan pembinaan kem tentera, pentadbiran lalu mengarahkan ia dibeli dengan harga 43 peratus lebih tinggi daripada nilai semasa iaitu RM10.47 juta bagi 62 ekar tanah.

“Sedangkan penilaian yang dilakukan oleh JPPH hanya RM7.28 juta sahaja.

“Sesuatu yang aneh oleh kerajaan ketika itu yang dikatakan kekurangan sumber sehingga memerlukan kaedah land swap untuk melaksanakan projek-projek Kementerian Pertahanan, tetapi mengarahkan pembelian tanah dengan harga lebih mahal daripada nilai semasa,” katanya.

Menurutnya lagi, kedua-dua projek tersebut juga telah diarahkan untuk memulakan pembinaanya dalam keadaan kontrak antara kerajaan dengan syarikat pemaju belum dimuktamadkan dan ditandatangani oleh kedua-dua pihak.

“Begitu juga kebenaran merancang dan memasuki tapak belum diperoleh dari pihak berkuasa tempatan (PBT) ketika projek sudah dijalankan.

“Pelaksanaan kedua-dua projek ini telah menyebabkan kepentingan dan keselamatan anggota tentera serta matlamat memperkukuhkan ketenteraan telah terabai,” katanya.

Mohd Nasair berkata, pembinaan Kem1 Briged di Port Dickson lebih diperlukan memandangkan kem sedia ada di Rasah sangat usang.

“Begitu juga anggota tentera yang telah dipindahkan Kem Hutan Melintang dalam keadaan kem itu belum memperoleh Certificate of Completion and Compliance (CCC).

“Matlamat utama dengan memindahkan anggota tentera dari Kem Tambun dan Kem Kamunting telah dibatalkan. Kem Hutan Melintang ketika ini hanya menempatkan sejumlah kecil Askar Wataniah,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");